Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Ibrahim Mohd. Abd. Kadir berkata, kemalangan yang menyebabkan bahagian hadapan bas ekspres itu remuk teruk berlaku kira-kira pukul 10 pagi.

"Siasatan awal polis mempercayai kemalangan itu berlaku sewaktu lori berkenaan sedang bergerak terus di lorong tengah.

"Kemudian sebuah bas dari arah belakang yang sedang bergerak di lorong yang sama telah melanggar lori itu apabila tiba di lokasi kejadian," katanya kepada pemberita hari ini.

Ibrahim berkata, kemalangan itu menyebabkan seramai 12 daripada 22 penumpang bas ekspres berkenaan mengalami luka dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban bagi menerima rawatan.

Kata beliau, pemandu bas ekspres iaitu seorang lelaki berusia 48 tahun mengalami kecederaan pada kening, manakala lelaki berusia 65 tahun yang memandu lori terlibat tidak mengalami kecederaan.

Jelas beliau, baki seramai sepuluh penumpang bas ekspres terlibat yang tidak mengalami sebarang kecederaan menaiki bas ganti untuk sampai ke Seremban.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dibawah mengikut Peraturan 3(2)(A) LN 166/59," katanya. - K! ONLINE