Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi itu, mangsa yang terdiri daripada ibu, bapa, anak dan cucu dikatakan sedang nyenyak tidur di tiga bilik berasingan kediaman jenis separa kayu dua tingkat terbabit.

Menurut mangsa yang juga pemilik rumah itu, Jalani Awang, 56, dia terjaga daripada tidur sebaik dikejutkan isterinya, Asnah Hassan, 59 yang semasa itu baru keluar dari tandas.

"Isteri menjerit meminta saya dan anak-anak yang lain bangun dan keluar meninggalkan rumah sebaik melihat api muncul dari bilik hadapan.

"Sebelum itu, isteri saya terdengar suara jiran-jiran bersebelahan yang mengatakan api di rumah kami. Kami kemudiannya terus berlari keluar dalam keadaan sehelai sepinggang," katanya kepada Kosmo! Online di lokasi kejadian di sini tadi.

rumah terbakar
Api yang marak menyebabkan kediaman tersebut hangus dijilat api dalam tempoh kurang setengah jam.

 

Cerita Jalani lagi, biarpun mereka tidak sempat menyelamatkan barangan peribadi seperti beg duit, wang simpanan dan kad pengenalan tetapi dia bersyukur kerana semua ahli keluarga termasuk lima cucunya terselamat.

"Api begitu marak menyebabkan kediaman kami hangus dijilat api kurang tempoh setengah jam.

"Kebakaran berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian. Mujur kebakaran yang berlaku tidak merebak di kediaman jiran bersebelahan," katanya yang tinggal di rumah pusaka itu sejak 42 tahun lalu. - K! ONLINE