Pertandingan selama dua hari bermula pukul 9 pagi tadi sehingga esok melibatkan 240 peserta yang terdiri daripada kakitangan pejabat daerah seluruh negeri serta pelajar-pelajar dari Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Kolej Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu.

Menurut Pengarah Muzium Negeri, Mohd. Yusof Abdullah, walaupun julung kali diadakan, Adu Kolek mendapat sambutan luar biasa daripada peserta dan orang ramai juga tidak melepaskan peluang untuk berada di pesisir Pulau Warisan bagi menyaksikan pertandingan tersebut.

"Pertandingan menggunakan kolek iaitu sejenis perahu tradisional Terengganu itu diadakan bermula pukul 9 pagi hingga enam petang sebelum tiga kumpulan layak ke peringkat akhir bagi merebut gelaran juara.

"Adu Kolek merupakan acara yang mampu mengembalikan warisan Terengganu yang sememangnya dikenali sebagai bandar raya pesisir air serta budaya maritim," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pulau Warisan di sini hari ini. - K! ONLINE