Mereka adalah K. S. Muniandy, 49; P. Navin Prakash, 18; M. Prem, 21; S. Kaamaraasi, 39, M. Rames, 33; S. T. Vasanthan, 31; M. Kishokman, 20; G. Peter Jebasegaran, 24; M. Vinos, 21; R. J. Thivakaran, 20; M. Arumugam, 32; Ang Lian Hooi, 37 masing-masing mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hassan Basri.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Masing-masing membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka secara bersama-sama didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis dengan melakukan rusuhan menggunakan senjata kayu, kerusi dan objek lain sehingga menyebabkan kerosakan ke atas kereta Nissan Sentra.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Hijau, 5/7 Tasik Puteri, Rawang, di sini, jam 5 petang, pada 15 Oktober lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kesemua tertuduh yang diwakili peguam Mohd. Riza Zakaria memohon anak guamnya diberikan hukuman berbentuk denda atas alasan  anak guamnya tidak mempunyai rekod lampau serta masing-masing penanggung utama keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memohon supaya kesemua tertuduh diberikan hukuman berat supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis membuat rondaan menaiki kereta jenis Nissan Sentra sekitar tempat kejadian pada pukul 5 petang, 15 Oktober lalu.

Tiba-tiba kenderaan yang dinaiki polis dihalang dari arah hadapan dan belakang oleh tiga buah kenderaan iaitu motosikal jenis EX5, van serta pacuan empat roda Hilux.

Kemudian, pengadu dan anggota polis telah dikepung oleh kumpulan lelaki tersebut dengan menggunakan kayu, kerusi dan objek lain.

Akibat serangan itu, kenderaan yang dinaiki polis rosak teruk. Anggota polis juga melepaskan tembakan amaran untuk meleraikan kumpulan terbabit.

Bagaimanapun, polis berjaya menahan kesemua ahli kumpulan tersebut tanpa berlaku sebarang kecederaan. - K! ONLINE