Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.16 petang daripada penduduk sekitar.

“Seramai 14 anggota beserta dua jentera dan satu kenderaan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai dan Seputeh di sini dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Siasatan awal mendapati kejadiaan itu melibatkan lapan buah motosikal dan tiga buah kereta yang mengalami kerosakan akibat kebakaran yang berlaku di bahagian bawah pangsapuri tersebut namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khirudin menambah, antara kenderaan yang terlibat dalam kejadian tersebut adalah kereta jenis Proton Saga BLM, Proton Persona dan kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail yang terbakar hampir separuh.

“Kebakaran tersebut juga turut merebak ke sebuah unit rumah di tingkat satu pangsapuri tersebut yang tidak berpenghuni.

“Tiada mangsa yang terlibat kerana pemilik kenderaan berada di dalam rumah masing-masing semasa kejadian tersebut,” ujarnya.

Kebakaran tersebut berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 4.41 petang dan Unit Forensik Bomba masih dalam usaha mengenal pasti punca kebakaran. - K! ONLINE