Dalam operasi berkenaan, seramai 184 pegawai kanan dan anggota polis Kuala Lumpur telah terlibat membabitkan kawasan di sekitar Pasar Borong Selayang, Chow Kit, LRT Bandar Tasik Selatan, Segambut Pusat, Batu 3 ¹/2 Jalan Ipoh, Pasar Seni, Jalan Padang Belia, Jalan Vivekananda serta Wisma Indah.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, sepanjang operasi terbabit, seramai 208 individu warga asing telah diperiksa dan 106 daripadanya telah ditahan.

“Kesemua tangkapan terdiri daripada warga Myanmar (43), Bangladesh (32), India (12), Indonesia (9), Nepal (5), Sri lanka(2), Nigeria (2) dan Pakistan (1).

“Kesemua mereka telah diambil tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah serta akta-akta yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kesemua mereka kemudian telah dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang, Lokap Dang Wangi dan Lokap Cheras untuk tindakan lanjut mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan. 

“Polis Kuala Lumpur memandang serius isu kebanjiran warga asing tanpa izin yang menyumbang ke arah kejadian jenayah berlaku di negara ini.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan bagi membanteras permasalahan kebanjiran warga asing sekaligus berusaha menurunkan kadar jenayah yang disebabkan oleh warga asing,” jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03- 2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. - K! ONLINE