Mereka yang terdiri daripada pelbagai golongan itu dipilih selepas berjaya menamatkan pembacaan dua buah kitab yang paling bermakna di dalam dunia pengajian Islam tersebut iaitu Syamail Al Nabi (Kesempurnaan Nabi SAW) dan Al Syifa' Bi Ta'rif Huquq Al Mustafa (Penyembuh Dalam Mengenali Hakikat Nabi Pilihan).

Kitab itu mula dibacakan pada 1 Rabiul Awal lalu bersamaan 9 November 2018.

Majlis anjuran Kumpulan Pendidikan As Sofa (SEG) dengan kerjasama Kolej Islam As Sofa (KIS) itu diadakan di Dewan Tun Rahah Menara Tun Razak di sini malam tadi.

Majlis dimulakan dengan pembacaan ayat suci al-Quran diikuti dengan alunan syair memuji Nabi, Burdah al-Busiri sebelum pengkahataman dua buah kitab tersebut yang disempurnakan oleh Pengerusi SEG, Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin dan diakhiri dengan maulid Nabi.

Hadir sama ulama jemputan dari Mesir merangkap Penasihat Kehormat KIS, Dr. Sayyid Nafi' Al Arabi Al Sanusi.

Bab terakhir di dalam kitab Syamail al Nabi itu ialah membincangkan mengenai mimpi bertemu Rasulullah manakala bagi kitab Al Syifa' Bi Ta'rif Huquq Al Mustafa pula menyatakan hukum bagi orang yang menghina Nabi, ahli keluarganya dan para sahabat baginda. - K! ONLINE