Majlis anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor itu difahamkan diadakan bagi menolak fitnah yang dibuat ke atas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Antara pemimpin PKR yang hadir ialah Menteri Besar, Amirudin Shari, Timbalan Ketua AMK Hilman Idham, Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr. Afif Bahardin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Sementara itu, Amirudin dalam upacannya berkata, tomahan itu hanyalah semata-mata mahu memisahkan dan mengasingkan fokus perubahan yang dilakukan dalam kerajaan persekutuan dan negeri.

“Inilah cabaran besar yang perlu kita lalui dan hadapi. Oleh sebab itu, kita bukan sahaja berdoa untuk menunjukkan kebenaran tetapi yakin bahawa kebenaran akan muncul.

“Fitnah politik seperti ini hanya berlaku di zaman 90-an sahaja namun dalam Malaysia Baharu ini ada lagi yang berjiwa kotor dan tidak suka kepada kejayaan perubahan yang dilakukan. Teruskan berdoa dan yakin kebenaran akan muncul,” katanya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, sebuah video tular seorang lelaki mengaku mengadakan hubungan sejenis dengan individu mirip seorang menteri.

Lelaki yang dikenali sebagai Haziq Aziz menerusi video kurang seminit itu mendakwa dia secara bersumpah mengaku merupakan individu dalam video itu bersama seorang lelaki mirip seorang menteri di sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah.

Kejadian itu turut didakwa berlaku di pada 11 Mei semasa Pilihan Raya Kecil Sandakan baru-baru ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin dalam satu kenyataan hari ini, bagaimanapun menafikan pembabitannya dalam video lucah yang disifatkan sebagai satu tuduhan jahat dan kejam. - K! ONLINE