Penasihat kempen SOAR, Nur Syahidatul Idany Abdul Ghani berkata, kempen tersebut bertujuan mendedahkan kepada pelajar sekolah dan penuntut universiti bahawa pentingnya menjaga keselamatan ketika berada di jalan raya. 

"Kempen berkenaan menyaksikan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor sebagai penaja utama selain ditaja oleh Pertubuhan Industri Rel Malaysia (MARIC), American International Group (AIG), Skyvax Holdings, Air Minuman MOMA dan Jump Street Asia.

"SOAR turut diserikan dengan pameran dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Selangor, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor, Child Passenger Safety Malaysia (CPM) dan Jump Street Asia," katanya ketika ditemui Kosmo! Online di sini hari ini.

Mengulas lanjut, seramai 100 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Pantai bersama guru iringan telah dijemput sebagai tetamu jemputan bagi memeriahkan kempen kali ini.  

"Tetamu turut disajikan dengan persembahan demonstrasi daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Selangor, BSMM dan CPM, juga pertandingan debat di antara pelajar TESL dan Komunikasi Massa daripada City University Malaysia. 

"Demi memupuk semangat cintakan negara, SOAR telah menyelitkan satu acara khas iaitu 'Merdeka Special Segment' sebagai salah satu pengisian kempen memandangkan Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini," jelasnya.

Majlis diakhiri dengan perasmian penutupan dari Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Siti Zaharah Ishak. - K! ONLINE