Serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam itu bermula kira-kira pukul 3.30 petang.

Dalam serbuan itu, pihak polis itu turut merampas kira-kira 42 kilogram daun ketum yang belum diproses, 35 bungkus air ketum dan 82 botol ubat batuk dianggarkan bernilai RM3,462.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kesemua 10 suspek yang terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita itu menjadikan rumah sewa terbabit sebagai stor simpanan dan pusat pengedaran ketum sejak enam bulan yang lalu.

Menurutnya, hasil siasatan pihaknya ke atas semua suspek yang berusia antara 17 hingga 51 tahun itu juga mendapati mereka memperolehi bekalan daun ketum itu dari negeri utara tanah air dan dipercayai untuk edaran sekitar daerah ini.

"Siasatan juga mendapati kesemua mereka ini bekerja di kedai-kedai makan di sekitar daerah ini dan mereka menjadikan kediaman itu sebagai markas untuk penagih air ketum mendapatkan bekalan mereka.

"Mengikut harga pasaran semasa, air ketum yang siap diproses dijual pada harga RM10 sebungkus, daun ketum pula dijual pada RM35 dan ubat batuk antara RM15 hingga RM20 sebotol," katanya pada sidang akhbar di IPD Shah Alam di sini hari ini. - K! ONLINE