Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, kebanyakkan rumah rosak pada bahagian bumbung akibat ditimpa pokok tumbang.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Lalang, Zamri Zainudin berkata, ribut selama setengah jam itu mengakibatkan tiga buah rumah di kampungnya rosak.

"Bumbung rumah dan kenderaan rosak akibat ditimpa beberapa pokok jati dan kekabu," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Katanya, dia kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.

"Setakat ini hanya rumah yang mengalami kerosakan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Bencana, Operasi dan Latihan APM Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.35 malam.

"Kita menerima maklumat mengenai kejadian pokok tumbang di atas bumbung rumah di Jalan Tanjung Rhu yang turut melibatkan tiga kereta dan sebuah motosikal," ujarnya.

Tambahnya, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian untuk bantuan kecemasan termasuk kerja-kerja menjalankan operasi pembersihan. - K! ONLINE