Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengeluarkan hubungan songsang tersebut daripada klasifikasi penyakit mental hanya pada tahun 1992, dengan gerakan LGBT semakin mendapat momentum sejak tahun 2000-an.

Populasi golongan LGBT di seluruh dunia tidak diketahui secara tepat. Namun, apa yang pasti, bilangannya semakin meningkat saban tahun, seiring dengan pertambahan penduduk dunia.

Dalam laporannya pada tahun 2016, Institut Williams di California menganggarkan bahawa sejumlah 4.1 peratus penduduk Amerika Syarikat (AS) membuat pengakuan bahawa mereka tergolong dalam kelompok LGBT. Bilangan penduduk AS pada tahun berkenaan adalah kira-kira 323 juta orang.

Bagaimanapun, anggaran 4.1 peratus itu hanya merangkumi segelintir mereka yang tidak malu untuk mengaku mengamalkan cara hidup LGBT. Sudah pasti bilangan sebenar golongan itu di AS adalah lebih besar.

Di peringkat global pula, konsensus yang diterima pakai adalah sekitar 10 peratus populasi dunia terdiri daripada LGBT. Jumlah penduduk dunia pada tahun 2017 adalah dianggarkan seramai 7.53 bilion orang.

Jika mengambil kira statistik dan teori 10 peratus tersebut sebagai sahih, tidak mustahil untuk menyatakan bahawa bilangan individu LGBT di seluruh dunia adalah melebihi 700 juta orang.

Walaupun angka 10 pe­ratus tadi adalah agak kecil berbanding keseluruhan umat manusia tetapi jika diterjemahkan kepada bilangan, ia nyata satu jumlah yang amat besar.

Angka 10 peratus itu berasal daripada kaji selidik yang dilakukan oleh ahli biologi AS, Alfred Kinsey pada tahun 1940-an. Beliau merupakan pengasas Institut Penyelidikan Seks di Universiti Indiana.

Bagaimanapun, perso­alan bilangan populasi glo­bal LGBT sebenarnya sukar untuk dijawab dengan tepat ekoran tiada data realistik dan tiada bancian dilakukan mengenainya.

Kajian mengenai perkara itu juga tidak banyak dilakukan dan jika ada ia tertumpu kepada kaji selidik yang dijalankan di negara-negara Eropah dan AS.

Ketiadaan bancian ter­se­but umum sudah mengetahuinya kerana selain bertentangan dengan ajaran Islam dan kebanyakan agama lain. Kira-kira 73 buah negara di seluruh dunia turut melarang hubungan LGBT, kebanyakannya di rantau Asia Barat, Afrika dan Asia. Sebanyak 12 negara menjatuhkan hukuman mati terhadap pelaku hubu­ngan songsang itu. Situasi tersebut tidak memungkinkan golongan LGBT membuat pengakuan terbuka mengenai diri mereka.

Sesetengah negara hanya melarang hubungan sesama lelaki tetapi sebilangan negara lain turut mengharamkan perlakuan biseksual dan lesbian.

Bagaimanapun, di tempat-tempat lain, golongan tersebut semakin diterima, berkembang dan berpengaruh terutamanya di AS, Kanada dan blok Eropah seperti Sepanyol, Belanda, Belgium dan Jerman.

Setakat tahun lalu, sebanyak 26 negara membenarkan perkahwinan songsang sekali gus merupakan pengiktirafan kepada golongan minoriti itu. Sementara itu, di AS pula, bilangan wakil rakyat yang terdiri daripada kelompok tersebut di negara polis dunia itu turut bertambah.

Bagaimanapun, di rantau-rantau lain penentangan terhadap LGBT semakin meningkat dan lantang seperti di Indonesia dan India.