Majlis Bandaraya Ipoh dalam satu kenyataannya hari ini memaklumkan, semua peniaga tanpa lesen tersebut yang menjalankan perniagaan di Lebuh Perajurit, Taman Ipoh Timur dan Jalan Simpang Pulai berhampiran gerai limau Tambun itu diarahkan berpindah ke tempat lain serta-merta. 

“Seramai lima peniaga durian tidak mempunyai lesen perniagaan buah-buahan bermusim yang sah daripada MBI selepas hasil pemeriksaan di Taman Lebuh Perajurit manakala lima lagi peniaga mempunyai lesen yang sah. 

“Lima lagi peniaga di Jalan Simpang Pulai berhampiran gerai limau Tambun juga diarahkan berbuat demikian atas alasan yang sama selain untuk mengelakkan berlakunya kesesakan di jalan tersebut,” katanya. 

Tambah kenyataan itu lagi, satu khemah telah disita di Taman Lebuh Perajurit memandangkan tiada peniaga di khemah tersebut ketika pemeriksaan dijalankan. 

“MBI menasihatkan kepada para peniaga agar memohon lesen perniagaan buah-buahan bermusim terlebih dahulu sebelum menjalankan perniagaan di sekitar bandar raya ini. 

“Sitaan ke atas khemah dan buah-buahan juga akan dilaksanakan sekiranya aktiviti tersebut masih berulang di masa hadapan,” katanya. 

Katanya, tindakan penguatkuasaan adalah tindakan terakhir diambil oleh MBI setelah kaedah nasihat tidak diendahkan para peniaga. - K! ONLINE