Kesemua tertuduh Jackie Lau Siew Kiat,22, Liaw Wee Soon,28, Lee Kian Yew,32, Kenny Ling Leong Chuong, 27, Ooi Chin Leng,31, Tee Kwee Ming,19, Tan Ban Yap,30, Phang Jun Wei,19, Calvin Chan Wai Lam,24 dan Dickson Chok Kim Leong,19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh didakwa telah melakukan pakat jahat dengan bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang untuk memperdaya Then Kim Yeem, 65, sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang tunai berjumlah RM23,000.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan kesalahan sama dengan memperdaya Kim Yeem sehingga mendorong warga emas itu menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,000.

Mereka didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu Ambank cawangan Kampar kira-kira pukul 12.45 tengah hari dan 1.31 petang pada 5 Februari lalu.

Kedua-dua pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 120B (1) kanun yang sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih daripada 10 tahun, sebatan dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kenneth Oon manakala kesemua tertuduh pula diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi.

Terdahulu, Kenneth memohon jaminan sebanyak RM10,000 ditetapkan untuk setiap pertuduhan yang dihadapi oleh kesemua tertuduh berikutan kes tersebut melibatkan kepentingan orang awam.

Hennie Soraya dalam rayuannya bagaimanapun memohon jaminan yang rendah berikutan ada di antara tertuduh yang telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan sama pada minggu lalu.

“Ada di antara tertuduh yang telah dikenakan ikat jamin sebanyak RM64,000, RM20,000 dan RM7,000 sewaktu dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada minggu lalu.

“Justeru, saya mewakili mereka memohon agar satu jaminan yang rendah ditetapkan terhadap kesemua tertuduh,” katanya.

Nur Faizah bagaimanapun membenarkan ikat jamin sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan yang dihadapi kesemua tertuduh.

Kes akan disebut semula pada 4 Julai depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. - K! ONLINE