Dalam kejadian pukul 2.45 pagi, kesemua nelayan itu diculik sewaktu perintah berkurung dilaksanakan di Sabah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, kejadian berlaku ketika 16 nelayan tersebut sedang menangkap ikan di perairan tersebut menggunakan dua buah bot.

Katanya, mereka kemudiannya didatangi dua buah bot dipercayai kumpulan penculik.

“Kumpulan penjenayah itu hanya menculik 10 nelayan dengan masing-masing enam orang daripada sebuah bot dan selebihnya empat daripada bot lain.

“Berdasarkan siasatan awal, kesemuanya nelayan warga asing itu dipercayai sama ada dari Filipina atau Indonesia dengan seorang daripadanya mempunyai pas dikeluarkan imigresen Sabah,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan penyerahan kenderaan polis oleh MRCB George Kent Sdn. Bhd. hari ini.

Menurut beliau, siasatan masih diteruskan dalam mengenalpasti dalang penculikan tersebut termasuk penglibatan kumpulan Abu Sayyaf.

Ujar Mazlan, setakat ini tiada sebarang panggilan diterima daripada kumpulan penculik.

Ketika ditanya sama ada nelayan itu telah meminta permit bagi menangkap ikan dalam tempoh perintah berkurung, Mazlan menegaskan itu bukan menjadi isu utama.

“Persoalannya, mengapa mereka berada di laut semasa tempoh perintah berkurung dilaksanakan.

“Sekiranya mereka warga tempatan, mereka mengetahuinya,” jelasnya. - K! ONLINE

MOHD. YUNUS YAKKUB