Menurut Nurulhamiza, kali terakhir mereka sekeluarga memakai baju baharu pada hari raya ialah kira-kira lima tahun lalu ketika anak sulung, Muhammad Razin Harith, 7, berusia dua tahun.

"Sejak lima tahun lalu kami hanya hanya mampu menyambut hari raya dengan menyarung baju terpakai sumbangan saudara mara atau orang ramai.

"Air mata sentiasa tumpah memikirkan perasaan kecewa tidak dapat menyediakan pakaian hari raya kepada anak-anak. Saya dan suami tidak mampu berbelanja untuk anak-anak yang masih kecil," katanya ketika ditemui di pasar raya Mydin, Kubang Kerian di sini hari ini.

Yang turut hadir, bonda saudara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Datuk Tengku Salwani Sultan Yahya Petra; Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim dan Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Grand Riverview (GRV), Raja Rusmin Raja Mahmud.

Keluarga Nurulhamiza merupakan antara 70 golongan asnaf daripada 10 keluarga yang dibawa membeli-belah sempena Program Beli Baju Raya Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) - Kita Kongsi.

Kisah kemiskinan hidup Nurulhamiza bersama suaminya, Razali Husin, 43, dan empat anak mereka sebelum ini pernah mendapat liputan media baru-baru ini.

Bagi meneruskan hidup, wanita itu terpaksa membawa tiga anaknya yang masih kecil meredah semak di sekitar rumah semata-mata mahu mencari pucuk paku bagi membantu suami yang hanya bekerja sebagai buruh. - K! ONLINE