Kawasan yang terlibat ialah Kampung Enam, Taman Melaka Baru Fasa 2, Taman Limbongan, Taman Merdeka, Taman Malim, Taman Bachang, Taman Lorong Pandan dan Taman Jati, Taman Rumpun Bahagia dan Pulau Kelapa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Melaka Tengah Kapten (PA) Awang Bohari Awang Ahet dalam satu kenyataan berkata, seramai 68 mangsa dari Kampung Enam juga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Balairaya Taman Anika Kampung Lapan sejak pukul 5 pagi.

Katanya, bagaimanapun PPS itu ditutup pada pukul 10.30 pagi tadi dan kesemua mangsa kemudian dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas air banjir mulai surut serta selamat.

"Sebanyak 10 buah kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat selepas hujan lebat berterusan dari pukul 10.30 malam sehingga 2 pagi.

"Seramai 19 buah keluarga dari Kampung Enam juga terpaksa dipindahkan ke PPS kerana rumah mereka dinaiki air sedalam 0.9 meter. Bagaimanapun kesemua mereka sudah pulang selepas air mulai surut," katanya.

Jelasnya, kejadian banjir kilat di beberapa kawasan terlibat dikesan berpunca daripada limpahan air Sungai Melaka ke kawasan-kawasan rendah.

Tambahnya, dalam kejadian tersebut anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut menerima panggilan kecemasan membabitkan haiwan berbisa yang masuk ke dalam kediaman penduduk termasuk ular.

"Anggota kita telah menangkap seekor ular sawa seberat dua kilogram dan sepanjang empat meter di Taman Merdeka kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

"Kita juga menerima panggilan membabitkan kes pokok tumbang di kawasan Ayer Keroh. Semua anggota dalam keadaan berjaga-jaga dan Pusat Kawalan Operasi Daerah APM beroperasi 24 jam untuk sebarang kejadian bencana alam dan kecemasan," katanya. - K! ONLINE