Wanita yang ingin dikenali sebagai Wan, 49, berkata, dia bersama ahli keluarga ke Johor pada Sabtu lalu sebelum meminta kenalan anaknya memberikan makanan kepada empat kucing peliharaannya yang ditinggalkan di rumah.

Bagaimanapun, dia menerima panggilan daripada kenalan anaknya pada Ahad lalu mengatakan dua ekor kucing miliknya kelihatan muntah darah dan mati beberapa jam selepas itu.

Katanya, dia dan ahli keluarga pulang dari kampung pada Selasa lalu dan mula mencari baki kucing miliknya serta jiran namun tidak kelihatan.

“Biasanya kucing itu ada dekat rumah saya atau rumah jiran, namun keadaan gelap pada sebelah malam membuatkan saya dan jiran mengambil keputusan untuk mencari kucing itu keesokan hari (Rabu).

“Luluh hati saya, apabila melihat lapan ekor kucing milik saya dan jiran yang dipelihara sejak empat tahun lalu dalam keadaan kaku dipercayai sudah mati beberapa hari. Saya percaya kucing itu diracun kerana keadaan mulutnya berdarah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Menurut suri rumah itu, ini merupakan kejadian pertama kucing miliknya diracun selepas hampir 15 tahun menetap di kawasan perumahan berkenaan.

“Saya tidak mahu tuduh sesiapa tetapi apa yang saya tahu orang melakukan perbuatan itu tidak berhati perut dan memang kejam.

“Selain itu, penduduk kawasan berkenaan juga bersepakat membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan pada Rabu lalu.

“Setakat ini, pihak polis sudah merakamkan keterangan pengadu bagi membantu siasatan,” ujarnya. - K! ONLINE