Kemalangan pada pukul 11.45 malam itu turut membabitkan sebuah kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebuah kenderaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 12.08 tengah malam.

“Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada sebuah lori yang membawa muatan sayur dari Cameron Highlands, Pahang menuju ke Johor hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong sebelah dan melanggar sebuah kenderaan di lorong tersebut.

“Lori sayur itu kemudian terbalik di kiri jalan dan melanggar sebuah lagi lori mengakibatkan kesemua sayur bertaburan di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Zani menambah, siasatan awal mendapati lori sayur dipandu di lorong paling kanan (lorong laju) dipercayai hilang kawalan apabila pemandu sebuah kenderaan lain di hadapannya brek secara mengejut.

“Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan.

“Lapan mangsa sudah dibenarkan pulang sementara dua lagi mangsa masih menerima rawatan di Zon Kuning,” ujarnya.

Kesemua mangsa berusia antara empat hingga 44 tahun.

Beliau berkata, polis telah memberkas pemandu lori sayur berusia 36 tahun itu dan kes di siasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE