Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, kebakaran dipercayai berpunca daripada bara kayu api yang menyala di ruang dapur rumah mereka.

Mangsa, Pandak Busu, 47, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri Anjoi Along, 43, serta lapan orang anak mereka sedang lena tidur.

“Saya menyedari rumah terbakar selepas terasa bahang panas dan sesak nafas sebelum tersedar dari tidur. Saya melihat api besar dari bahagian dapur. 

“Saya segera mengejutkan isteri dan anak-anak supaya segera bangun menyelamatkan diri,” katanya.

Menurut Pandak, mereka tidak sempat menyelamatkan pakaian mereka kerana api merebak dengan cepat membakar rumah buluh yang dibina hampir 10 tahun itu.

“Kami bersyukur kerana seluruh nyawa ahli keluarganya terselamat. Kami hanya menggunakan air sungai untuk memadamkan kebakaran dan mujurlah api dapat dikawal dan tidak merebak ke rumah jiran.

“Ketika ini kami tinggal di rumah saudara sementara membina kembali rumah yang musnah dalam kebakaran itu,” katanya. - K! ONLINE