Pengarah Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, pertambahan jumlah kenderaan itu adalah sebanyak 65 peratus iaitu bermula 1 hingga 3 Jun apabila warga kota mula pulang ke kampung halaman.

Secara purata jumlah kenderaan yang melalui KLK adalah 108,000 buah pada hari biasa dijangka meningkat kepada 179,000 buah, manakala di LPT1, 48,000 kenderaan pada hari biasa dijangka meningkat kepada 76,600 kenderaan sehari.

"Bagi menghadapi jumlah peningkatan itu, cadangan waktu perjalanan (TTA) akan dikeluarkan bagi mengurangkan kesesakan melampau pada waktu puncak selain melancarkan perjalanan pengguna lebuh raya.

"Kami juga akan memberikan diskaun tol yang akan diumumkan Menteri Kerja Raya, Baru Bian, melakukan rondaan trafik dan fasiliti, menambah 17 hingga 24 peratus kakitangan serta mendapatkan bantuan daripada pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)," katanya.

Nik Fauzi berkata demikian ketika ditemui pada program Berkongsi Barakah Ramadan iaitu edaran pek buah kurma dan juadah iftar kepada pengguna LPT1 di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di sini, hari ini. - Bernama