Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman, perkara tersebut adalah selaras dengan pengumuman dalam pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober lalu, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bayaran khas kepada penjawat awam sebanyak RM1,500 dan bayaran itu akan disalurkan dua kali iaitu RM1,000 pada awal Januari dan RM500 lagi menjelang sambutan Aidilfitri.

Katanya, secara keseluruhan sebanyak tujuh pekeliling perkhidmatan dan satu surat pekeliling perkhidmatan baharu dikeluarkan berkuat kuasa 1 Januari lalu sebagai maklumat dan rujukan penjawat awam pada tahun ini.

"Pekeliling itu merupakan makluman dan rujukan mengenai inisiatif dan penambahbaikan yang diumumkan dalam Bajet 2018 pada Oktober tahun lalu dan antaranya ialah mengenai tarikh bayaran khas.

"Antara pekeliling itu ialah Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2017 Kemudahan Cuti Umrah Maksimum 7 Hari Cuti Tanpa Rekod sekali sepanjang tempoh perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - K! ONLINE