Pengarah Urusan Syarikat Mayazia Auto Sdn. Bhd., Datuk Kisham @ Khairul Othman berkata, pada awalnya pihaknya hanya membuka penyertaan kepada 500 penyertaan sahaja.

“Namun kita terpaksa membuka lebih lagi penyertaan selepas ramai pihak menyatakan keinginan untuk memyertainya sejak dibuka kira-kira dua bulan lalu.

“Jadi pada hari ini kita mencatatkan seramai 1,055 peserta yang bukan sahaja terdiri daripada penduduk setempat malah turut mendapat penyertaan daripada penunggang luar negeri,” katanya ketika ditemui di perkarangan Aeon Mall, di sini hari ini.

Para peserta dilepaskan pada pukul 8 pagi oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan bermula dari perkarangan Aeon Mall melalui pusat bandar Kota Bharu sebelum ke Pengkalan Chepa dan berpatah balik ke Aeon Mall.

Program tersebut turut mendapat kerjasama dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Kisham berkata, program kayuhan itu adalah merupakan kali pertama anjuran Subaru Mayazia Motorsport dan diadakan bagi mempromosikan kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru Forester.

“Para peserta turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah dua buah motosikal, 10 buah basikal selain merasai pengalaman memandu uji model Subaru Forester ini,” katanya. - K! ONLINE