Ia melaporkan tentang kajian penyelidik Barat selama enam tahun terhadap 430,000 rakyat Bri­tain mendapati individu yang berjaga malam dan ba­ngun lewat pada keesokan harinya berisiko mati lebih awal berbanding yang tidur awal tetapi bangun sebelum matahari muncul.

Ini kerana sebagai petugas Kosmo!, profesion sebagai wartawan sememangnya menuntut penulis pada kebiasaannya pulang lewat, kadangkala pada pukul 1 pagi baru menghidupkan enjin kereta untuk pulang ke rumah.

Namun dalam kes penulis pula, walaupun tidur lambat tetapi tidaklah pula sehingga bangun lambat pada keesokan harinya. 

Ini kerana sudah menjadi rutin penulis, walaupun tidur lewat katalah pada pukul 3 pagi tetapi menje­lang pukul 6 pagi pada kebiasaannya atau selewat-lewatnya pukul 7 pagi, penulis secara automatik akan terjaga.

Jika menyentuh tentang isu tidak cukup tidur, sememangnya ia agak dekat dengan diri penulis secara peribadi.

Mencatat rekod peribadi, sewaktu menuntut di sebuah universiti, penulis pernah tidur selama setengah jam gara-gara belajar pada minit-minit terakhir untuk menghadapi peperiksaan pada sebelah pagi­nya.

Nasib baik penulis tidak pengsan dan dapat menjawab dengan baik sebelum kemudiannya mendapat keputusan A+ untuk mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan tersebut.

Itu semasa penulis masih muda tetapi selepas me­langkah ke alam pekerjaan sebagai wartawan, seperti yang telah penulis jelaskan, kerjaya ini sememangnya menuntut untuk menghabiskan banyak masa bekerja berbanding tidur.

Namun yang peliknya, penulis tidak pula mengantuk ketika berada di pejabat walaupun sememang­nya waktu tidur tidak mencukupi.

Bagaimanapun, perkara itu bukan berlaku setiap hari. Ini kerana pada hari tidak bekerja, penulis pastikan mendapat tidur yang mencukupi. Namun penulis bimbang dengan rakan-rakan wartawan yang lebih muda berbanding penulis yang sememangnya tidak cukup tidur semasa hari bekerja.

Bagaimanapun pada hari tidak bekerja, mereka tetap tidak cukup tidur kerana menghabiskan masa untuk berhibur seperti menonton wayang pada lewat malam atau menghabiskan masa di gim sehingga mengganggu waktu tidur. 

Dalam pada itu, penulis tertarik dengan hasil kajian yang dibuat oleh satu jenama jam tangan iaitu Fitbit - suatu teknologi yang boleh dipakai di perge­langan tangan yang turut boleh merekodkan sejauh mana tempoh waktu tidur memberi impak kepada kesihatan tubuh.
Fitbit menurut laporan pada Februari tahun ini mendakwa telah merekod data 6 bilion pengguna Amerika Syarikat (AS) berkaitan waktu tidur me­reka.

Jika menurut ketetapan bidang perubatan, orang dewasa biasanya harus tidur sekurang-kurangnya tujuh jam setiap malam untuk memastikan tubuh sentiasa sihat, namun kajian Fitbit mendapati lelaki dan wanita di AS masing-masing hanya tidur selama enam jam 26 minit dan enam jam 50 minit.

Biarpun wanita tidur lebih lama, tetapi lelaki tidur dengan lebih baik dan kajian itu mendapati 40 peratus responden wanita mengalami imsomnia.

Kesimpulannya bagi penulis apa yang penting, pastikan waktu tidur mencukupi tetapi kalau tidak cukup tidur pun, usahakan supaya dapat tidur de­ngan nye­nyak sebelum bangun dalam keadaan serba segar pada keesokan harinya.