Acara yang bermula seawal jam 7 pagi itu disertai oleh pelajar, pensyarah universiti serta daripada sektor korporat dan industri.

Larian amal itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu kumpulan pertama peserta yang dilepaskan adalah untuk larian sejauh 10 kilometer (km) diikuti larian 5km di sekitar kawasan universiti.

Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, larian itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan di sekitar Selangor terutamanya golongan asnaf dan anak yatim.

Beliau berkata, sebahagian daripada hasil kutipan yuran pendaftaran penyertaan larian amal ini akan disumbangkan kepada tabung program Nuri Nutrisi Bank Rakyat untuk sekolah sekitar negeri ini.

"Program ini juga merupakan salah satu platform untuk mengukuhkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Nuri Nutrisi iaitu menyediakan makanan bernutrisi kepada pelajar yang kurang berkemampuan termasuk asnaf.

"Sasaran kita adalah untuk membantu kira-kira 120 sekolah di seluruh negara melibatkan 20,000 ribu pelajar sehingga akhir tahun ini. Mereka akan menerima bantuan menerusi program Nuri Nutrisi di sekolah terpilih"katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Turut hadir, Presiden MSU, Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Abdul Yajid, Naib Canselor MSU, Prof. Datuk Dr. Junainah Abd.Hamid.

Mengulas lanjut, Nizam berkata, selain program larian, pihaknya sebelum ini turut mengadakan pelbagai aktiviti bagi mengutip dana bagi program Nuri Nutrisi.

"Hari ini, kita buat larian amal, sebelum ini kita ada membantu pihak sekolah mengusahakan kebun buah-buahan dan sayur-sayuran. 

"Hasil daripada kebun itu kita kembalikan kepada pihak sekolah untuk di salurkan semula kepada anak-anak asnaf dan mereka yang memerlukan," katanya.

Tambah beliau, inisiatif Nuri Nutrisi Bank Rakyat dilancarkan pada 9 Januari lalu dan ia merupakan teras CSR Bank Rakyat sehingga tahun hadapan. - K! ONLINE