Bertemakan 'Membela Bangsa, Membina Negara', sambutan yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pukul 5 petang.

Sambutan julung-julung kali itu dimulakan dengan program Wacana Hawana pada pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari yang disertai ketua-ketua pengarang, pengarang dan tokoh media tempatan bagi membincangkan kepentingan masa depan media di Malaysia, selain mengeluarkan deklarasi Hawana dalam menggariskan hala tuju kewartawanan dan industri media negara.

Majlis pelancaran sambutan itu akan diadakan pada sebelah petang bermula dengan ucapan daripada wakil wartawan muda, tokoh wartawan dan pelancaran oleh perdana menteri.

Kemuncak majlis itu ialah penyampaian Anugerah Tokoh Hawana 2018 kepada seorang tokoh yang banyak menyumbang kepada kemajuan dunia kewartawanan negara.

Objektif utama penganjuran Hawana adalah bagi mendapatkan pengiktirafan negara dan penghargaan atas sumbangan pengamal media dalam membantu membangunkan negara dan mengukuhkan perpaduan masyarakat.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan kerjasama pengamal media Malaysia lain telah mengambil tanggungjawab untuk menganjur dan melaksanakan sambutan itu bagi mengangkat martabat profesionalisme kewartawanan negara. - Bernama