Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 3,000 KR1M 2.0 yang disasarkan di seluruh negara pada 2020. Setakat ini, 50 KR1M 2.0 sudah beroperasi.

"Bagi pembukaan KRIM 2.0 ini, kita akan meneruskan kerjasama dengan syarikat peruncitan KK Mart sebagai rakan strategik untuk menyalurkan barangan pada harga yang murah selain turut mempelawa penyertaan lebih ramai pembekal bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

"Kedai-kedai berkenaan (KR1M 2.0)  akan menggunakan label seperti 'KK Mart KR1M 2.0' bagi membezakan dengan kedai-kedai runcit yang lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan siri pertama program jelajah 'Student Entrepreneurship Programme ' (1st STEP) anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Penganjuran julung kali 1st STEP anjuran SSM dilaksanakan bagi memupuk minat keusahawanan murid sejak di bangku sekolah.

Mengulas mengenai 1stSTEP, Hamzah berkata program itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mengetahui kemudahan pembiayaan yang disediakan kerajaan bagi memulakan perniagaan tetapi turut memberi latihan keusahawanan kepada mereka. 

Program yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan itu turut melancarkan dua  buku teks subjek perniagaan dan perakaunan Tingkatan Lima bagi mengemas kini kandungan berkaitan SSM. 

Kandungan baharu berkaitan SSM dalam buku tersebut akan memuatkan Akta Syarikat 2016 selepas pemansuhan Akta Syarikat 1956. - Bernama