Pertandingan memancing yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai RM20,000 itu adalah siri kelima setelah berehat selama tujuh bulan tiada pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd. Nazam Harun berkata, aktiviti sihat bertemakan ‘Jom Pancing, Rakyat Ceria, Komuniti Sejahtera’ sentiasa dinantikan pemancing sambil beriadah bersama keluarga.

“Juara pertandingan ini akan membawa pulang RM6,000 diikuti RM2,000 untuk naib juara dan ketiga bakal memperoleh RM1,000.

“Pemenang keempat hingga ke-10 akan menerima RM200, pemenang tempat ke-11 hingga 80 menerima RM100 setiap seorang begitu juga tempat di 81 hingga ke 100 menerima RM50 setiap seorang manakala tahun ini pihak DBKL turut menyediakan hadiah khas untuk pemenang ikan keli di mana juara menerima RM300, kedua RM200, ketiga hingga ke 7, RM100 dan tempat ke lapan hingga ke 10, RM50” katanya.

Beliau berkata demikian selepas acara melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di tasik itu, hari ini, antaranya patin bersaiz antara empat hingga lima kilogram (kg) seekor.

Oyoshi (Perasa Sakura), Igloo-UFL dan Pure Fishing Malaysia Sdn Bhd turut memeriahkan acara ini sebagai rakan strategik bersama lagi.

Beliau berkata, sekarang merupakan waktu terbaik kaki pancing serbu Tasik Ampang Hilir ini yang memiliki keunikan tersendiri kerana banyak spesies ikan terbaik termasuk patin, tongsan, rhu dan toman bersaiz lapan hingga 20 kg menanti kaki pancing.

Yuran RM40 dikenakan untuk sebatang joran dan sebanyak 1,000 penyertaan awal layak menerima satu botol air saiz 1.5 liter sumbangan penaja.

Pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia di lokasi pertandingan Sabtu ini, bermula jam 1 tengah hari hingga 9 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Maklumat lanjut, layari laman Facebook, JORANKL atau hubungi urus setia di talian 013-266 7011 dan 012-284 6811.