29/08/2017

Skuad berbasikal trek negara tambah koleksi pingat emas Malaysia

Skuad berbasikal trek negara tambah koleksi pingat emas Malaysia


Fatehah dan Muhammad Fadhil raih emas acara ujian masa KL2017 hari ini.

NILAI - Skuad berbasikal trek negara meneruskan kecemerlangan apabila menambah koleksi pingat emas negara pada hari terakhir acara itu di Velodrom Nasional hari ini.

Dua pingat emas diperolehi menerusi acara 500m ujian masa wanita dimenangi Fatehah Mustapa manakala Muhammad Fadhil Mohd. Zonis pula menerusi acara 1km ujian masa lelaki.

Fatehah merekod masa 34.542 saat, 0.125 saat lebih pantas daripada rekod kebangsaan yang dilakukannya di temasya Sukan Komanwel 2014, di Glasgow.

Dengan catatan masa berkenaan, Fatehah mendahului tujuh pelumba lain termasuk pelumba negara Anis Amira Rosidi yang terpaksa berpuas hati di tempat keempat dengan masa 36.476s.

Pingat perak dan gangsa dimenangi pelumba Indonesia, Crismonita Dwi Putri dengan masa 36.165s manakala rakannya Santia Tri Kusuma di tempat ketiga dengan 36.345s.

Sementara itu, Muhammad Fadhil pula mengesahkan pingat emas menjadi milik kontinjen negara apabila mencatat masa 1:01.889s dalam acara 1km ujian masa lelaki.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom di tempat kedua dengan catatan masa kedua terpantas 1:02.356s manakala pelumba Singapura, Mohamed Elyas Mohamed Yusoff meraih gangsa dengan catatan 1:03.929s. - Bernama