29/08/2017

Skuad pelayaran negara tuai tiga pingat emas pada cabaran hari terakhir

Skuad pelayaran negara tuai tiga pingat emas pada cabaran hari terakhir

Oleh ZAID MOHD. NOOR


Ahmad Latif mengibar Jalur Gemilang selepas memenangi pingat emas dalam kategori Laser Radial Lelaki pada acara pelayaran KL2017 di Kompleks Pelayaran Kebangsaan di Langkawi hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO

LANGKAWI - Skuad pelayaran negara menuai tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada hari terakhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan di sini hari ini.

Pingat emas pertama dimenangi pelayar muda, Nurul Shazwanie Mohd. Saad yang beraksi dalam kategori Optimist Wanita bawah 16 tahun.

Pingat perak dalam kategori itu pula dirangkul pelayar dari Thailand, Palika Poonpat dan

pelayar Singapura, Koh Radiance pula sekadar berpuas hati menyandang pingat gangsa.

Sementara itu, seorang lagi pelayar negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah tidak ketinggalan menyumbangkan emas dalam kategori Optimist Lelaki bawah 16 tahun.

Pelayar lelaki terbaik dari Thailand, Panwa Boonnak pula berjaya merangkul pingat perak dan pelayar Singapura, Max Victor Teo Li Chen memenangi pingat gangsa.

Pingat emas ketiga pula dimenangi pelayar negara, Ahmad Latif Khan dalam kategori Laser Radial Lelaki dan pelayar Singapura, Bernie Chin Cheok Khoon meraih perak manakala pelayar Thailand, Apiwat Sringam memenangi gangsa.

Dalam pada itu, pelayar negara, Nur Shazrin Mohamad Latif berpuas hati dengan menyumbangkan pingat perak dalam kategori Laser Radial Wanita.

Pemenang pingat emas kategori itu ialah pelayar dari Singapura, Lee Sook Ying Jillian manakala pelayar Thailand, Kanapan Pachatikapanya pula memenangi pingat gangsa.

Dalam kategori Laser Standard pula pelayar negara, Khairulnizam Mohd. Affendy turut mencipta nama sebagai pemenang pingat gangsa manakala pelayar Singapura, Lo Jun Han Ryan memenangi emas dan pelayar Thailand, Keerati Bualong pula pingat perak. - K! ONLINE