29/08/2017

Thanabalan anak Malaysia

Thanabalan anak Malaysia


Thanabalan.

SEREMBAN - Malam ini merupakan penentuan bagi mendapatkan ibu segala pingat emas dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) iaitu perlawanan bola sepak peringkat akhir antara Malaysia menentang Thailand.

Ibu kepada N. Thanabalan, V. Thiru Sundari, 52, berkata, sewaktu menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Indonesia pada Sabtu, bulu romanya meremang apabila negara menerima asakan bertubi-tubi daripada pihak lawan.

"Ketika gol dijaringkan pada perlawanan itu, saya tidak tahu bahawa anak saya yang menjaringkan gol hingga beberapa minit kemudian apabila satu stadium bergema dengan laungan 'Thanabalan! Thanabalan!'.

"Dia bukan sahaja anak saya, dia ialah anak Malaysia kerana gol yang dihasilkan bukan atas kudrat anak saya semata-mata tetapi hasil kerjasama keseluruhan pemain Malaysia," katanya semasa kunjungan ke rumahnya di sini.

S. Nadarajah, 56, bapa kepada N. Thanabalan, merupakan orang penting dalam karier wira negara itu kerana beliaulah yang bertanggungjawab dalam mencungkil bakat pemain negara tersebut dan melatihnya dari kecil pada setiap minggu di padang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sungai Gadut, dekat sini. - Bernama