28/08/2017

Azizulhasni beraksi malam ini

Azizulhasni beraksi malam ini


Azizulhasni ketika menjalani latihan di Nilai semalam.

NILAI - Juara Keirin Dunia dari Malaysia Mohd. Azizulhasni Awang akan beraksi di separuh akhir acara pecut lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Velodrom Nasional di sini malam ini.

Dalam kemunculan pertamanya di KL2017 hari ini, beliau yang dikenali sebagai "The Pocket Rocketman" mengatasi pelumba Brunei 2-0 untuk melangkah ke pusingan separuh akhir.

Sebelum itu, beliau mencatatkan masa 10.121 saat untuk tempat pertama daripada lapan pelumba di peringkat saringan.

Rakan sepasukannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom juga layak ke separuh akhir selepas menewaskan pelumba Singapura Lance Tan.

Muhammad Shah Firdaus yang mencatatkan masa 10.191s dalam saringan, menang 2-0 selepas menguasai perlumbaan pertama dan kedua di pusingan suku akhir.

Sementara itu, dalam pecutan individu perempuan, Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Mohd Adnan juga layak ke separuh akhir.

Fatehah mencatat masa 11.208s, melayakkan diri di tempat pertama sementara Farina Shawati di tempat kedua dengan masa 11.726s. - Bernama