27/08/2017

Malaysia kuasai pentas final skuasy individu

Malaysia kuasai pentas final skuasy individu

KUALA LUMPUR - Malaysia seolah-olah sukar digugat dalam acara skuasy individu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila menguasai sepenuhnya final perseorangan lelaki dan wanita yang dijadualkan berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil esok.

Pemain negara bakal membuat perhitungan sesama sendiri dalam kedua-dua acara tersebut dengan Mohammad Syafiq Mohd. Kamal menentang Ng Eain Yow menerusi perseorangan lelaki sementara Rachel Mae Arnold berdepan S. Sivasangari bagi perseorangan wanita.

Pada saingan separuh akhir yang berlangsung sebentar tadi, Rachel menyingkirkan pemain Singapura, Sneha Sivakumar dengan 11-6, 11-5, 11-6 sementara Sivasangari menewaskan pemain Filipina, Jemyca Aribado 11-2, 11-5, 11-9.

"Saya bermula dengan baik pada permainan tadi dan ia nyata berikan keyakinan pada diri sendiri. Dia (Aribado) cuba lakukan kebangkitan pada set ketiga, namun saya berjaya memperkemaskan permainan dan menang.

"Lawan Rachel di final sudah pasti bukan perkara mudah kerana kami sentiasa menjalani latihan bersama tetapi saya akan cuba untuk menangi pingat emas," kata Sivasangari.

Pada aksi separuh akhir perseorangan lelaki, Syafiq menewaskan wakil Singapura, Samuel Kang 12-10, 11-6, 3-11, 11-1 sebelum Eain Yow melengkapkan malam cemerlang Malaysia menerusi kemenangan 11-5, 13-11, 11-6 ke atas pemain Filipina, Robert Andrew Garcia. - K! ONLINE