13/08/2017

Pemilihan Terengganu sebagai venue acara Equestrian Endurance satu pengiktirafan - MB

Pemilihan Terengganu sebagai venue acara Equestrian Endurance satu pengiktirafan - MB


Sultan Mizan menyerahkan Obor Sukan Sea KL 2017 kepada Khairy dengan disaksikan Ahmad Razif pada Majlis Pra Pelancaran Acara Endurance Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Stadium Mini, Kompleks Sukan Negeri,Gong Badak, Kuala Nerus malam tadi.

KUALA NERUS - Pemilihan Terengganu sebagai venue acara Equestrian Endurance atau kuda lasak dalam temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 merupakan satu pengiktirafan terhadap negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pemilihan itu bakal melakar lagi cerita kejayaan buat negeri Terengganu di samping kejayaan anak jati Terengganu dalam bidang sukan, baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Siapa yang tidak kenal juara dunia kita, Mohd Azizulhasni bin Awang atau dikenali ramai sebagai 'The Pocket Rocketman'. Azizulhasni, Fatihah Mustaffa, Mohd Adiq Husainie Othman, Anuar Manan dan Mohd Harrif Salleh, semuanya jaguh kelahiran Terengganu dalam sukan Lumba Basikal.

"Dalam temasya Sukan SEA kali ini, saya juga dimaklumkan bahawa seramai 73 atlet anok (anak) jati Negeri Teganu (Terengganu) kita telah dipilih mewakili negara.

"Kita juga bertuah kerana dengan limpah perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Negeri Terengganu telah dipilih untuk venue Sukan Endurance. Syabas dan tahniah saya ucapkan," katanya pada majlis prapelancaran acara Endurance Sukan Sea Ke -29 Kuala Lumpur 2017, di Mini Stadium, Gong Badak, di sini, malam tadi.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan pelancaran acara itu.

Turut berangkat permaisuri baginda Sultanah Nur Zahirah dan tiga anakanda baginda berdua iaitu Tengku Nadirah Zahara, Tengku Muhammad Muaaz dan Tengku Fatimatuz Zahara.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat turut hadir pada majlis itu. - Bernama