11/08/2017

MAHB tempatkan 200 Duta Sambutan di KLIA

MAHB tempatkan 200 Duta Sambutan di KLIA


Badlisham

SEPANG - Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) bakal menempatkan 200 Duta Sambutan di tempat tumpuan utama penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memberi membantu kepada kontinjen asing dan penyokong ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, duta berkenaan adalah sebahagian daripada peranan MAHB sebagai "Rakan Kongsi Sambutan KL2017' dalam memastikan setiap individu yang terbabit dalam temasya itu berasa amat dialu-alukan.

"Kami berbesar hati dapat memainkan peranan ini lebih-lebih lagi tahun ini kami menyambut ulang tahun jubli perak kami. Kami merasakan penglibatan kami dalam KL2017 merupakan acara penting dalam sambutan ulang tahun ke-25 kami.

"Amat mengujakan dapat menjadi sebahagian sejarah Malaysia. Sebab itu kami mempelawa rakyat Malaysia untuk sama-sama turut serta dalam memeriahkan KL2017 - bertemakan 'ruang yang menyediakan suasana damai dan menyeronokkan'," katanya.

Menurutnya, ia sebahagian daripada inisiatif untuk memenuhi misi mewujudkan pengalaman menyeronokkan untuk pengguna lapangan terbang. - Bernama