11/08/2017

Obor Sukan SEA KL2017 tiba di Putrajaya

Obor Sukan SEA KL2017 tiba di Putrajaya


Ketua Setiausaha Perbendaharaan,Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah membawa Obor Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bersama ribuan pelari sukarelawan yang berlangsung di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini,hari ini. Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Sea adalah pada 16 tahun lalu

PUTRAJAYA - Larian Obor Kuala Lumpur 2017 sampai di Putrajaya hari ini sebelum ke peringkat akhir di Stadium Nasional di Kuala Lumpur untuk acara pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada 19 Ogos.

Hujan renyai pada pagi ini tidak menjejaskan semangat dan keterujaan orang ramai termasuk ketua setiausaha beberapa kementerian yang mengambil bahagian dalam larian itu yang turut dimeriahkan dengan kibaran bendera 11 negara peserta yang dibawa naik ke udara menggunakan dua belon panas.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa diberikan penghormatan sebagai pembawa obor yang pertama bagi larian peringkat Putrajaya sebelum diserahkan kepada kalangan peserta lain.

Antara mereka ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikshan dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali.

Suasana begitu ceria tatkala larian itu melalui beberapa bangunan kementerian di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan ini, dengan kehadiran pasukan sorak dan pancaragam daripada sebuah universiti serta beberapa buah belon panas berada di ruang udara.

Lokman berkata sokongan daripada orang ramai menjelang temasya Sukan KL itu amat memberangsangkan dengan hanya seminggu lagi sebelum Malaysia menjadi tuan rumah kepada atlet terbaik di rantau ini.

"Kami telah membuat persediaan bagi Sukan SEA KL sudah agak lama dan masa berlalu dengan cepat. Kami berharap kami dapat menjadi tuan rumah yang terbaik dan negara kita akan muncul sebagai juara keseluruhan," kata Lokman kepada pemberita selepas berakhirnya acara itu di Kementerian Belia dan Sukan.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia menyasarkan 111 pingat emas buat kontinjen Malaysia pada Sukan SEA untuk menjadi juara keseluruhan.

Sukan SEA Kl secara rasmi akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos membabitkan 404 acara daripada 38 jenis sukan. - Bernama