SUKAN

Brazil dilabel pasukan pilihan

Brazil dilabel pasukan pilihan


BRAZIL mencatat 12 kemenangan daripada 18 aksi kelayakan untuk mara sebagai juara zon Amerika Selatan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018.


SAO PAOLO – Pengendali Brazil, Tite mengakui pasukannya merupakan pilihan utama untuk merangkul kejuaraan Piala Dunia pada tahun depan bersama-sama dengan dua wakil Eropah, Perancis dan juara bertahan, Jerman.

Sebagai rekod, Brazil mudah mendominasi saingan kelayakan dengan menjuarai peringkat kumpulan termasuk menang 3-0 ke atas Chile dalam aksi terakhir, se­kali gus menafikan pasukan gergasi Amerika Selatan itu tiket ke Rusia.

“Saya tidak teragak-agak untuk mengatakan bahawa kami merupakan pilihan utama. Berdasarkan pres­tasi dan keputusan semasa, kami adalah yang terbaik tetapi masih ada lagi beberapa pasukan yang perlu diberi perhatian.

“Sebagai contoh, pasukan Perancis sangat konsisten kebelakangan ini selain memiliki ramai pemain berkelas dunia seperti (Kylian) Mbappe, ­(Alexandre) Lacazette, (Antoine) Griezmann. Begitu juga dengan Jerman yang merupakan juara bertahan,” katanya.

Sementara itu, pemain senior The Selecao, Dani Alves menganggap kehadiran Tite telah memberi impak positif selepas pasukannya mempamerkan aksi hambar tahun lalu termasuk tersingkir awal daripada kejohanan Copa Americana.

“Tite adalah jurulatih terbaik Brazil yang pernah saya bekerjasama. Dia telah menerapkan falsafah bola sepak moden tetapi tidak melupakan tradisi skuad Brazil. Dia sangat mengambil berat dengan barisan pemain dan itu membuatkan pemain sentiasa hormat padanya,” katanya. – Agensi

Process time in ms: 47