SUKAN

Gugur Vingada bukan penyelesaian

Gugur Vingada bukan penyelesaian


TUNKU ISMAIL (kiri) masih percaya Vingada individu terbaik bagi menguruskan pasukan kebangsaan.


TINDAKAN menggugurkan Nelo Vingada sebagai jurulatih kebangsaan bukan jalan terbaik bagi mengatasi masalah aksi kurang cemerlang skuad Harimau Malaya dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih percaya bahawa Vingada adalah individu terbaik untuk menguruskan pasukan negara walaupun masih belum mencatat kemenangan sejak pelantikannya Mei lalu.

“Jika kita menukar jurulatih sekarang, tidak kira betapa baik­nya orang itu, ia tidak akan me­ngubah keputusan kerana kita tidak mempunyai pemain tempatan yang cukup baik dan hasilnya tetap sama.

“Kami tidak mempunyai pasukan pendahulu yang cukup, terutama­nya penyerang,” titah baginda.

Tunku Ismail bertitah, Vingada sebelum ini berpengalaman menguruskan pasukan teratas di Asia dan percaya beliau memerlukan masa yang cukup untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak Malaysia.

“Kami telah tidur selama 30 tahun di mana negara-negara se­perti Indonesia, Filipina, Thailand, Myanmar dan bahkan Syria telah membuat peningkatan besar untuk bola sepak mereka,” titah baginda.

Mengulas kekalahan 0-2 Harimau Malaya kepada Hong Kong pada aksi kelayakan Piala Asia 2019, Tunku Ismail tidak menyalahkan Safiq Rahim yang dilayangkan kad merah dalam perlawanan itu.

“Saya tidak menyalahkan Safiq dalam perlawanan itu, kesemua pemain harus disalahkan.

“Kekalahan kepada pasukan Hong Kong itu bukanlah yang ter­akhir bagi skuad negara, malah akan ada banyak lagi kekalahan pada masa depan, walaupun sukar untuk diterima,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda juga mempertahankan keputusan membenarkan pasukan Liga Malaysia mengambil lima pemain import untuk pasukan masing-masing bermula musim depan.

“Ia atas faktor komersial dan tidak perlu bagi pasukan untuk mendapatkan lima pemain asing kerana mereka perlu melihat kemampuan kewangan sebelum membeli (mengambil pemain import).

“Sekiranya pasukan hanya boleh membeli dua pemain asing dan meletakkan seluruh skuad dengan pemain tempatan, maka mereka boleh me­lakukannya. Saya mahu lihat liga yang lebih kompetitif dan dapat memberi manfaat kepada negara,” katanya.

Process time in ms: 47