RENCANA UTAMA

Festival castells simbolik penyatuan Catalonia

Festival castells simbolik penyatuan Catalonia

PASUKAN itu akan dianggap berjaya sekiranya membina menara tersebut tanpa runtuh.


Tangan dipegang kemas dan masing-masing rapat membentuk bulatan bagi memastikan tapak atau asas menara itu kukuh untuk menampung bebanan manusia, sekali gus membentuk menara setinggi 10 hingga 12 tingkat.

Tapak itu hendaklah betul-betul kukuh yang berfungsi sebagai jaring keselamatan sekiranya pemain atau castellers tersebut terjatuh.

Menara manusia atau dikenali sebagai castells menjadi simbol kebanggaan Catalonia yang terletak di rantau timur laut Sepanyol.

Pada tahun 2010, Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengisytiharkan castells sebagai Warisan Kebudayaan Kemanusiaan.

Baru-baru ini, kebudayaan itu digunakan dalam perhimpunan pro-kemerdekaan di seluruh rantau tersebut walaupun kebanyakan peserta dan pengundi menuntut agar amalan berkenaan tidak berunsur politik supaya tidak mencemarkan tradisi.

Castells telah didokumenkan sebagai satu kebudayaan yang wujud sejak tahun 180l.

Ia berasal dari pekan Valls yang terletak berhampiran bandar Tarragona di Catalonia sejak abad ke-18. Namun, ada juga yang mendakwa ia muncul pada abad ke-19 di kawasan itu.

Permainan tradisi itu menjadi sebahagian daripada festival yang diraikan oleh para penduduk dan membuka pintu kepada pertandingan. Pasukan tersebut dianggap berjaya jika mereka dapat membina menara itu tanpa runtuh.

Sejak tahun 1980, permainan tradisi itu menjadi fenomena dan semakin meluas sehingga colles atau kelab pasukan itu ditubuhkan di seluruh Catalonia dan Kepulauan Balearic.

Seorang sejarawan, Pablo Giori berkata, ketika tiba di Catalonia pada tahun 2012, dua perkara yang menarik hatinya ialah semangat nasionalisme dan menara manusia.

“Kebudayaan itu dibawa oleh pendatang dari selatan Sepanyol seperti Andalusia yang mencari pekerjaan di bahagian utara dan ia merupakan persembahan berbayar.

Parti politik


TAPAK menara berfungsi sebagai jaring keselamatan bagi menampung ahli pasukan castells yang terjatuh.


“Pada ketika itu, ia disertai oleh masyarakat kelas bawahan dan sekiranya menghantar anak di puncak menara, maka jelas menunjukkan anda memerlukan wang,” katanya.

Tuturnya, hampir setiap kampung mengadakan pertandingan yang bersaing antara dua kumpulan castells dan dibiayai oleh parti politik iaitu Monarki dan Republikan.

Namun, ketika berada di bawah pemerintahan regim Francisco Franco pada tahun 1939 hingga 1975, banyak simbol kebudayaan Catalonia telah diharamkan seperti sardana iaitu tarian tradisional dan bahasa ibunda di rantau tersebut.

“Regim itu tidak membenarkan persaingan dua kumpulan dan digabungkan menjadi satu bagi mengelakkan perbezaan politik sehinggalah tahun 1981.

“Selepas kematian Franco dan pemulihan sistem demokrasi, castells dijadikan sebagai simbol identiti masyarakat Catalonia,” terangnya.

Peralihan demokrasi itu membawa perubahan ketara dalam kehidupan sosial di Catalonia termasuk kebangkitan semula festival jalanan dan sambutan yang membentuk 23 kumpulan castells. Ia menjadi aktiviti popular tidak kira di kawasan bandar ataupun luar bandar.

Anehnya, kemalangan jarang berlaku walaupun pada tahun 2006 seorang kanak-kanak berusia 12 tahun meninggal dunia kerana jatuh daripada castells dan kemalangan maut dilaporkan pada tahun 1983.

Secara tradisinya, persembahan membina menara ini adalah merupakan perayaan besar yang disambut di Catalonia dan Sepanyol.

Persembahan castells berlangsung dari bulan Jun hingga November setiap tahun. Acara itu biasanya diadakan di pusat bandar pada waktu petang sehingga malam.

Kelab-kelab akan meletakkan jadual persembahan di laman web masing-masing seperti kelab Castellers de Barcelona, www.castellersdebarcelona.cat.

Ahli pasukan mendapat prestij sosial dan terlibat secara profesional dengan mengadakan latihan berkala serta mempelajari teknik-teknik berkaitan dengannya.

Peningkatan jumlah kumpulan itu turut membolehkan mereka menerima bantuan dana daripada penduduk.

Perubahan itu menjadikan castells berkembang pesat yang tidak hanya terdapat di Catalonia.

Kini, tradisi itu telah diamalkan secara keseluruhan di Sepanyol dan menjadi salah satu amalan kebudayaan yang terkenal.

Lebih 15,000 orang dan 100 kumpulan yang aktif membuat persembahan kebudayaan itu merentasi Catalonia pada masa ini.

Ia merupakan transformasi yang menunjukkan kekuatan budaya masyarakat dan berkembang bersama tradisi serta kemodenan.

Seorang pemain yang hanya ingin dikenali Caue berkata, anda tidak tahu sama ada ia akan berjaya atau tidak sehinggalah menara itu diselesaikan.

“Ia benar-benar estetik dan memberi kesan visual menakjubkan.

“Sesiapa sahaja yang menyaksikannya akan mengucapkan kekaguman,” ceritanya yang sudah lapan tahun bergelar pemain.

Ditanya mengenai cara para pemain mengekalkan keseimbangan mereka, Caue membacakan moto mereka iaitu kekuatan, keseimbangan, keberanian dan kebijaksanaan.

“Ia merupakan usaha bersama tidak kira anda berada di tapak atau puncak menara.

“Sekiranya gagal melaksanakan bahagian anda maka, menara akan roboh,” katanya.

Kerjasama


SEORANG kanak-kanak ditenangkan selepas terjatuh dari menara manusia.


Tambah Caue, ada perasaan yang istimewa muncul apabila berjaya membentuk menara itu.

Sementara itu, seorang ahli kumpulan Castellers de Vilafranca, Michael, 56, memberitahu, setiap pembinaan diberikan mata yang setimpal dengan tahap kesukaran.

“Pemain membentuk tiga bahagian utama istana iaitu asas (tapak), tiang dan mahkota.

“Kanak-kanak yang ringan akan mendaki ke puncak menara itu dengan memakai topi keledar sambil disokong oleh seluruh menara,” kata warga London yang hampir setiap minggu ke Catalonia untuk menyertai permainan itu.

Tuturnya lagi, mereka akan berlatih tiga kali seminggu dan membuat persembahan pada hari Ahad

“Ahli kumpulan itu sangat unik kerana ia disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuklah lelaki, wanita, kanak-kanak, jutawan dan kelas bawahan.

“Namun, masing-masing memberikan kerjasama dan fokus dengan peranan mereka untuk menghasilkan sebuah istana,”ujarnya.

Kejohanan utama castells diadakan sebanyak dua tahun sekali di Sepanyol.

Dalam pada itu, pemimpin wilayah separa autonomi berkenaan, Carles Puigdemont mendakwa menerima mandat daripada rakyat bagi menjadikan Catalonia sebagai sebuah republik merdeka selepas satu pungutan suara yang diadakan secara haram pada 1 Oktober lalu.

Krisis politik Sepanyol itu menimbulkan kebimbangan kekacauan yang semakin meningkat di rantau timur laut, kawasan mesra pelancong dan menempatkan 7.5 juta penduduk.

Pada 10 Oktober lalu, Puigdemont menangguhkan pengisytiharan kemerdekaan itu bagi memberi laluan untuk mengadakan rundingan dengan Madrid.

Process time in ms: 141