HIBURAN

Tonton lancar saluran Outdoor Channel Asia

Tonton lancar saluran Outdoor Channel Asia


Dari kiri: Ivan Carter, Pengarah Urusan Multi Channels Asia, Gregg Creevy, Ketua Pegawai Eksekutif Saluran Meida Prima, Johan Ishak dan Pengurus Besar Tonton, Ben Jern Loh sewaktu majlis pelancaran saluran Outdoor Channel Asia baru-baru ini.


PERKEMBANGAN teknologi menjadikan aplikasi digital penstriman video Tonton meningkatkan kualiti pengisian dengan menawarkan saluran baharu iaitu Outdoor Channel Asia.

Jalinan kerjasama dengan salah sebuah rangkaian kabel televisyen dengan pengisian gaya hidup lasak tersebut pastinya memenuhi cita rasa penonton tempatan masa kini.

Antara rancangan menarik lain yang turut boleh didapati menerusi saluran tersebut ialah Carter’s W.A.R, Alaska’s Wild Gourmet, Hollywood Weapons, Monster Fish, Outback Pilots, The Crocodile Hunter dan Backcountry Rescue.

Pada majlis pelancaran saluran tersebut di Sri Pentas, Damansara Utama baru-baru ini, Pengurus Besar Tonton, Ben Jern Loh berkata, kerjasama tersebut secara tidak langsung dapat memenuhi keinginan penonton tempatan yang mementingkan gaya hidup sihat.

“Outdoor Channel Asia merupakan saluran bahasa Inggeris pertama di Tonton dan saya yakin ia menepati keinginan pengguna Tonton daripada semua peringkat usia,” jelasnya penuh yakin.

Kembara Ivan Carter

Selain itu, turut hadir hos rancangan Carter’s W.A.R, Ivan Carter. Pengacara berusia 46 tahun itu turut berharap agar kandungan saluran Outdoor Channel Asia mampu menawarkan pengalaman menarik selain menambah ilmu pengetahuan.

Katanya, saluran tersebut bukan sekadar memaparkan kandungan hiburan semata-mata tetapi ingin mengajak lebih 7.3 juta pengguna Tonton di Malaysia ‘mengembara’ bersamanya menerusi rancangan Carter’s W.A.R.

“Meskipun kebanyakan haiwan liar berada di sekitar kawasan dataran terbuka di Afrika, namun persekitaran tersebut tidak menjamin keselamatan mereka terutama mamalia yang menjadi buruan pemburu haram.

“Saya juga berharap program berkenaan dapat memberi pendedahan tentang kepentingan melindungi haiwan liar terancam dan menjaganya demi masa depan generasi akan datang,” kata Carter optimis.

Selain programnya, Carter’s W.A.R, Carter juga akan muncul menerusi rancangan Mat Salleh Masuk Hutan with Abe! bersama penyampai stesen radio FlyFM, Hafiz Hatim.

Kata Hafiz, kesempatan bekerja dengan Carter adalah peluang keemasan yang tidak mungkin akan dilepaskan. Menyifatkan Carter sebagai selebriti yang mudah didekati, Hafiz mengharapkan agar rancangan Mat Salleh Masuk Hutan with Abe! mendapat sambutan baik dalam kalangan pengguna Tonton.

Menjalani penggambaran selama dua hari di sekitar kawasan hutan Anak Gua Tempurung, Gopeng, Perak, pelbagai aktiviti menarik dilakukan seperti sukan ekstrem berakit dalam arus deras serta mengenal pasti hidupan flora dan fauna.

“Saya gembira apabila diberi peluang untuk berkongsi pengalaman mengenai hidupan liar tempatan bersama Carter selain menunjukkan kepadanya tentang budaya masyarakat majmuk di negara kita.

“Secara peribadi, saya merupakan seorang pencinta haiwan liar dan berpendapat kewujudan saluran ini akan dapat menyemai kesedaran dalam diri penonton tentang kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Merentasi anak sungai dalam Anak Gua Tempurung, melihat kelawar dan kala jengking jenis Tailless Whip adakah pengalaman yang sukar dilupakan. Pengalaman meneroka gua pula suatu perkara luar biasa yang tidak selalu kita alami,” ujar Hafiz atau lebih dikenali dengan nama panggilan Abe.

Penonton juga berpeluang menyaksikan sama ada Hafiz dan Carter berjaya atau tidak memancing ikan jenis peacock bass dan giant snakehead di Tasik Chenderoh, Kuala Kangsar, Perak.

Process time in ms: 47