DUNIA

Catalan diberi tempoh lapan hari

Catalan diberi tempoh lapan hari

AFP - Rajoy berkata sesuatu pada sidang akhbar mengenai krisis politik negara itu selepas mesyuarat Kabinet di Istana Moncloa, Madrid kelmarin.


MADRID – Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy kelmarin memberi tempoh lapan hari kepada kerajaan Catalan untuk menggugurkan pengisytiharan kemerdekaan.

Sekiranya gagal berbuat demikian, Rajoy akan menggantung kuasa autonomi politik Catalonia dan memerintah wilayah itu secara langsung.

Tindakan beliau mungkin memburukkan lagi konfrontasi antara Madrid dan wilayah barat laut itu tetapi memberi isyarat satu laluan keluar daripada krisis politik terbesar Sepanyol sejak kegagalan rampasan kuasa tentera pada tahun 1981.

Rajoy juga mungkin memanggil satu pilihan raya wilayah diadakan segera selepas mengaktifkan Artikel 155 dalam perlembagaan yang membenarkan beliau memecat kerajaan wilayah Catalan.

Pemimpin wilayah separa automoni itu, Carles Puigdemont secara simbolik mengisytiharkan kemerdekaan daripada Sepanyol pada malam Selasa lalu tetapi segera menggantung keputusan tersebut dan meminta diadakan perbincangan dengan kerajaan Madrid.

“Kabinet bersetuju pada pagi ini (kelmarin) untuk meminta pengesahan secara rasmi daripada kerajaan Catalan sama ada telah mengumumkan kemerdekaan Catalonia tanpa mengira kekeliruan yang dicetuskan secara sengaja terhadap pelaksanaannya,” kata Rajoy dalam satu pengumuman menerusi siaran televi­syen.

Beliau kemudian memberitahu Parlimen Sepanyol bahawa kerajaan Catalan mempunyai tempoh hingga Isnin, 16 Oktober ini pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) untuk menjawab pertanyaan itu.

Jika Puigdemont mengesahkan beliau ada mengumumkan kemerdekaan, beliau diberi masa tambahan selama tiga hari untuk membetulkan perkara itu iaitu hingga hari Khamis, 19 Oktober pada pukul 8 pagi (waktu tempatan). Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan Artikel 155 dikuatkuasakan. – Reuters

Process time in ms: 31