RENCANA UTAMA

Kurniaan pangkat kepada yang berhak

Kurniaan pangkat kepada yang berhak

Dua figura tersohor pelaku seni negara, M.Nasir dan Ramli MS dikurniakan pangkat Datuk pada tahun 2011.


Bukan satu isu lapuk, setiap kali anak seni atau selebriti tanah air diberi pengiktirafan ataupun kurniaan pangkat seperti Datuk, tidak sedikit yang ‘berbunyi’ mempersoalkan tentang kredibiliti ataupun sumbangan yang telah mereka berikan kepada negara.

Malah, dalam beberapa keadaan, ada segelintir masyarakat yang menjadikannya sebagai satu bahan lelucon apabila ada dalam kalangan selebriti yang menyandangkan gelaran tersebut hampir tidak dikenali umum, selain diremehkan kewujudan mereka.

Apabila pemberian kurniaan Datuk ini kemudian sempat menjentik perasaan beberapa penerimanya termasuk Datuk Hans Isaac dan Datuk Afdlin Shauki yang ‘diusik’ oleh Zizan Razak sewaktu mengendalikan Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) dengan mengatakan pangkat dibeli baru-baru ini menjadi isu, Kosmo! cuma mendasari dan mencari tahu bagaimana seseorang pelaku seni mampu memperoleh kurniaan tersebut.

Menjelaskan hal berkenaan kepada Kosmo!, pengarah My EK, Fadli Suberi yang melancarkan aplikasi verifikasi pangkat Datuk, i-Dato di Hotel Quality City Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia mempunyai pendapat dan pegangannya yang tersendiri.

Kata Fadli, bukan mudah untuk seseorang terutama dalam kalangan selebriti untuk dikurniakan pangkat Datuk misalnya, melainkan hasil sumbangan yang memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Sebelum pangkat Datuk diberikan, satu kertas kerja perlu dibentangkan sebelum dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Dari situ, barulah penilaian dibuat sama ada individu itu layak atau tidak untuk diberikan darjah kebesaran.

“Mengambil contoh penyanyi Datuk Awie, orang mungkin mengenali beliau sebagai seorang penyanyi rock, tetapi tidak tahu sebenarnya dalam kesibukan bergelumang dalam dunia seni, Awie juga banyak melibatkan diri dalam misi kemanusiaan.

“Orang tidak tahu beliau banyak membantu anak-anak yatim, rumah-rumah kebajikan termasuk memberi kesan positif melalui penganjuran konsert lebih tiga dekad bergelar penyanyi,” jelas Fadli.

Mengulas lanjut, Fadli berkata, bukan hanya sumbangan dalam cabang seni diambil kira, sebaliknya daripada pelbagai aspek yang melayakkan seseorang selebriti dikurniakan pangkat yang menjadi polemik dalam kalangan ramai.

“Ya, selebriti kerjanya menghiburkan melalui nyanyian dan lakonan, tetapi perlu diakui bahawa mereka juga mempunyai tanggungjawab lain sebagai seorang manusia.

“Saya setuju, mungkin ada segelintir pihak dengan mudah mempersoalkan tentang relevannya pangkat yang diberikan kepada mereka, tetapi tidak semestinya mereka hidup atas nama glamor maka setiap inci sumbangan mereka diketahui ramai,” katanya.

Diusik pertanyaan kebenaran ada segelintir selebriti yang sanggup membeli gelaran Datuk, Fadli memilih untuk tidak mahu mengulas tentang dakwaan tersebut.

“Komen saya mudah. Mereka yang dapat pangkat Datuk adalah golongan yang bekerja keras. Mereka mungkin tidak mengharapkan apa-apa, tapi kalau sudah rezeki mereka, orang ingin kata apa sekalipun, terpulang kepada mereka,” jelas Fadli.

Sehubungan itu, aplikasi i-Dato diwujudkan untuk menjadi garis pemisah antara Datuk palsu dan yang tulen.

Dengan perkenalan sistem pangkalan data (da­tabase) berkomputer, ia menjadi sumber rujukan dan pengesahan maklumat peribadi pe­nerima darjah kebesaran dari pejabat Setiausaha Kerajaan Ne­geri (SUK), Istana dan Gabenor ­negeri.

Aplikasi i-Dato diharap menjadi sumber rujukan dan pengesahan maklumat peribadi pe­nerima darjah kebesaran dari pejabat Setiausaha Kerajaan Ne­geri (SUK), Istana dan Gabenor ­negeri.

Dengan hanya memasukkan nombor ahli, seseorang individu dapat mengesan sama ada pangkat Datuk palsu atau tulen. Bagi mereka yang ingin berdaftar, sila layari laman sesawang, www.idato.my.

Rezeki


A. RAHMAN mahu kurniaan pangkat yang diberikan kepada anak seni harus diperhalusi termasuk menilai sumbangan mereka terhadap industri hiburan tempatan.


Sementara itu, penyanyi era 60-an, Datuk A Rahman Hassan ketika dihubungi Kosmo! berkata, beliau tidak menafikan ada segelintir selebriti yang tidak layak untuk menyandang gelaran Datuk.

Kata pelantun lagu Tak Mengapa itu, beliau sendiri tidak pernah terlalu memikirkan tentang kurniaan pangkat semata-mata untuk melestarikan kehidupan sebagai seorang pelaku seni.

“Saya tidak pernah kisah tentang pangkat Datuk yang dikurniakan. Kalau diberikan pangkat atau kurniaan sebegitu, itu adalah rezeki dan kerana hasil kerja keras. Maknanya, kehadiran kita dalam sesuatu bidang memberikan kesan positif kepada persekitaran dan orang ramai.

“Saya juga akui, sesetengah selebriti sekarang tergila-gilakan pangkat disebabkan mereka bukan sahaja bergantung status sebagai penyanyi atau pelakon. Mereka juga bergelar usahawan dan dengan adanya pangkat, ia menjadi nilai tambah yang barangkali melariskan perniagaan,” katanya.

Tambah Presiden Kelab UMNO Artis Tanah Air (Kuat) itu lagi, beliau sedikit kecewa apabila ada segelintir anak seni yang benar-benar berjasa dalam lapangan hiburan tidak diberikan pangkat atau darjah kebesaran sewajarnya.

“Saya bukan berniat untuk mempersoal integriti pihak yang terlibat, tetapi ramai lagi anak seni yang sudah mengharumkan nama negara di pentas dunia, namun dipinggirkan dalam soal pangkat atau darjah kebesaran.

“Sebaliknya, ada yang dipanggil dengan gelaran seperti Datuk sekarang ini dalam kalangan anak seni yang kita tidak tahu dari mana mereka datang. Ada yang kata mereka beli pangkat itu namun buat saya, itu hal mereka. Saya tidak akan masuk campur.

“Namun jika benar itu berlaku, ada kepincangan dalam proses mendapat pangkat dalam kalangan selebriti yang harus ditangani dengan lebih baik supaya golongan seperti ini tidak terus dipandang remeh oleh masyarakat,” getusnya.

Berniaga


BUKAN lagi menjadi orang bisnes, DSV kini menceburi bidang hiburan apabila melahirkan single pertamanya berjudul I Am Me.


Bagi jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman, beliau bersetuju ada sesetengah selebriti yang menjadikan pangkat seperti Datuk untuk tujuan berniaga.

“Dalam dunia ini, asalkan ada duit dan pangkat, seseorang individu senang untuk dipercayai. Bagaimanapun, untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi sekalipun, perlu ada matlamat dan kerja keras.

“Untuk saya sendiri, kalau boleh setiap hari saya mahu menceburi sesuatu perkara atau bidang yang baharu agar dapat menjadi individu yang lebih berjaya pada masa akan datang.

“Apa orang ingin kata, katalah. Saya terjun dalam bidang nyanyian pun bukan semata-mata ingin menjadi penyanyi, tetapi mahu meluaskan empayar perniagaan dengan mendapat publisiti daripada orang ramai,” jelas wanita itu tanpa berselindung.

Tegas usahawan berusia 46 tahun itu yang kini mendominasi kebanyakan program televisyen menerusi tajaannya, beliau berasa pangkat seperti Datuk tidak membezakan status di sisi manusia andai tidak pandai membawa diri dalam masyarakat.

“Kalau sudah diberi pangkat Datuk, perangai pun harus senonoh. Itu adalah satu tanggungjawab yang diberikan kepada orang yang benar-benar layak bukan hanya sekadar menggunakannya untuk kepentingan sendiri,” kata bekas cikgu yang menerima anugerah tersebut pada tahun 2014.

Bangga


AFDLIN SHAUKI baru memperoleh kurniaan Datuk pada September lalu.


Menjawab persoalan dirinya dikatakan ‘membeli’ gelaran Datuk yang dikurniakan kepadanya baru-baru ini, pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki tidak mahu terlalu bingung tentang pendapat netizen tentang hal itu.

“Tidak kisah apa orang ingin kata. Apa yang penting, baju yang saya pakai ketika menerima pingat di istana tempoh hari memang dibeli, namun tidak kurniaan yang diberikan.

“Saya hanya buat yang terbaik dalam hidup dan mencari sumber rezeki yang halal buat keluarga. Dalam pada itu, saya juga berharap untuk memberi manfaat kepada masyarakat,” ujar Afdlin yang menerima darjah kebesaran dan pingat dari Istana Pahang bersempena hari keputeraan Sultan Pahang yang membawa gelaran Datuk September lalu.

Mengulas lebih lanjut tentang hal tersebut sehingga ada rakan artis seperti menuduhnya membeli gelaran tersebut pada satu majlis berprestij, pengarah filem Baik Punya Cilok itu mempunyai jawapan tersendiri.

“Tuhan sahaja tahu apa yang telah kami buat dengan bakat, tenaga dan harta saya selama ini. Dengan berbekalkan kepercayaan pada diri sendiri, keinginan untuk menghibur dan memberi manfaat, saya sampai ke tempat ini.

“Saya bermula dari bawah dengan penuh kesabaran dan bukan tidak pernah mengalami jatuh bangun hidup. Saya masih belajar dan akan terus memberi kebaikan kepada orang ramai. Mulut orang saya tidak boleh tutup,” tutur Afdlin.

Process time in ms: 47