VARIA

Nasi ayam kunyit resipi dua sahabat

Nasi ayam kunyit resipi dua sahabat

ANAS (kanan) dan Datu menunjukkan menu hidangan yang mereka jual.


Kebelakangan ini, berniaga menerusi trak makanan semakin mendapat tempat di negara ini.

Tidak hairanlah di ibu kota Kuala Lumpur beberapa lokasi strategik terutamanya di kawasan premis perniagaan dan pejabat menjadi pilihan mereka berniaga.

Konsep perniagaan tersebut dianggap lebih mudah selain mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Antara yang menceburkan diri dalam bidang tersebut termasuklah Anas Nasrul Latif, 28, dan sahabatnya Datu Mohd. Taufiq Datu Razak, 28.

Menu utama yang mereka jual ialah nasi ayam kunyit dan nasi daging kunyit.

Jelas Anas, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai pembantu pengurus kedai peralatan sukan bagi memberi tumpuan untuk mengusahakan perniagaan itu yang dinamakan sebagai The Best Kunyit King in Town.


KAWASAN berdekatan Stadium Mini Setiawangsa menjadi lokasi perniagaan dua sahabat ini.


“Walaupun baru beroperasi tiga bulan, maklum balas yang diberi oleh pelanggan baik sekali.

“Buat masa sekarang, kami hanya menjual dua menu iaitu nasi ayam kunyit dan nasi daging kunyit,” jelasnya.

Tambahnya, mereka bercadang untuk menambah dua lagi menu baharu iaitu udang dan sotong goreng kunyit bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Dalam pada itu, Anas berkata, bagi menjaga kualiti makanan yang dijual, dia menggunakan bahan mentah yang segar.

Setiap hari sebelum memulakan perniagaan, dia akan ke pasar bagi mendapatkan bahan mentah yang segar.

Sambal belacan

“Ayam dan daging mestilah sentiasa segar untuk memberi rasa yang lebih enak. Setiap hari kami memperuntukkan sekitar 25 kilogram (kg) ayam dan 5kg daging.


SAMBAL belacan menjadi pelengkap kepada hidangan nasi ayam kunyit.


“Ayam dan daging ini diperap bersama kunyit dan sedikit rempah istimewa bagi memberi rasa yang sedikit berbeza.

“Kami juga menggunakan resipi khas dan rasanya berbeza dengan tempat lain. Selain itu, kami turut menyediakan sambal belacan bagi penggemar pelanggan yang suka hidangan pedas,” jelasnya.

Tambahnya, sambal belacan itu adalah resipi istimewa ibunya yang menjadi pelengkap kepada sajian tersebut.

Beroperasi di bersebelahan Stadium Mini Setiawangsa di Setiawangsa, Kuala Lumpur, ia dibuka bermula pukul 11 pagi hingga 7 petang pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Harga yang ditawarkan untuk menu nasi ayam kunyit ialah RM6 dan nasi daging kunyit RM7.

Jelas Anas, para pelanggan paling ramai pada waktu makan tengah hari dan petang iaitu ketika pekerja pulang dari kerja.

Dalam pada itu, mereka turut menerima tempahan jika ada pihak yang ingin menempah menu tersebut untuk majlis-majlis tertentu.

Process time in ms: 15