RENCANA UTAMA

Obses kumpul lencana pengakap

Obses kumpul lencana pengakap


ELIYA (kiri) turut berkongsi minat yang sama dengan tiga orang anaknya untuk mengumpul lencana pengakap.


LAIN orang, lain minatnya. Bagi sesetengah individu, menjadikan aktiviti mengumpul sesuatu barangan sebagai hobi bukan lagi sesuatu yang asing.

Koleksi yang dikumpul itu pula selalunya dibuat kerana beberapa faktor. Ada individu menjadikan koleksi-koleksi lama seperti barangan elektrik antik sebagai sebahagian koleksi.

Tidak kurang juga yang menjadikan koleksi mereka untuk melepaskan tekanan, malah mengakui berasa tenang setiap kali membelek koleksi tersebut.

Kepuasan yang diperoleh sukar digambarkan apabila melihat deretan koleksi yang dihimpunkan selama bertahun-tahun diabadikan untuk tatapan hingga ke anak cucu.

Bagi Nur Eliyawaton Mohd. Alias, 37, mengumpul lencana pengakap menjadi taruhan pada dirinya untuk dijadikan hobi hingga berjaya mengumpul lebih 400 keping lencana unit beruniform itu.

Bagi Eliyawaton atau lebih mesra dipanggil Eliya, koleksi lencana pengakap itu menjadi terapi pada dirinya dengan menatap ratusan koleksi tersebut yang siap di bingkaikan.

Usia 10 tahun

Menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, bukan mudah untuk seseorang itu menjadi pengumpul tegar bagi sesuatu koleksi.

“Minat dan kesungguhan perlu ada supaya setiap apa yang dilakukan itu tidak terhenti separuh jalan,” tutur wanita berasal dari Seri Manjung, Perak itu.

Mengimbau kembali permulaan Eliya mula mengumpul lencana pengakap, dia memberitahu, hobi tersebut hadir secara tiba-tiba sementelah dirinya sendiri bergiat aktif dalam unit beruniform itu.

Menurutnya, dia yang mula aktif dalam pengakap seawal usia 10 tahun pada mulanya tidak mempunyai cadangan untuk mengumpul lencana unit beruniform tersebut.

Tetapi, selepas kerap menyertai jambori pengakap yang melibatkan pasukan dari seluruh negara dan bertukar-tukar lencana dengan pasukan lain, lama-kelamaan timbul rasa minat untuk menjadikan ia satu koleksi peribadi.

Dakwa Eliya, setiap pasukan pengakap mempunyai bentuk dan corak lencana yang berbeza mewakili setiap negeri.

“Lencana-lencana pengakap yang dikumpul itu cantik dan berwarna-warni,” ujarnya yang kini bertugas sebagai pensyarah di Pusat Latihan Kokurikulum, Institut Pendidikan Guru, Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.

Walaupun sibuk dengan tugas hakiki sebagai pendidik, Eliya masih lagi bergiat aktif dalam badan pengakap dan kerap menyertai jambori sama ada di dalam mahu pun luar negara.

Hingga kini, Eliya juga mempunyai puluhan koleksi lencana pengakap dari luar negara antaranya Hong Kong, Indonesia, Thailand, Switzerland, Maldives, Singapura dan Brunei.

Bagi Eliya, penyertaannya dalam pengakap membuatkan dia mendapat ramai kenalan dari dalam dan luar negara, yang turut mempunyai hobi yang sama.

Bahkan, aktiviti bertukar-tukar lencana semasa ahli pengakap sudah menjadi satu kemestian setiap kali menyertai jambori.

“Biasanya kami akan membuka meja dan meletakkan lencana-lencana pengakap untuk ditukar dengan pasukan lain,” jelas Eliya yang kini menjawat jawatan sebagai Penolong Pesuruhjaya Daerah KLM21 dalam badan pengakap.


KEBANYAKAN lencana yang dikumpul diperoleh semasa menyertai jambori pengakap sama ada di dalam mahupun luar negara.


Koleksi kesayangan

Terdapat koleksi lencana sukar untuk diperoleh kerana dikeluarkan secara terhad. Sebagai contoh lencana dengan gambar beruang berwatak lanun yang diperoleh semasa menyertai Jambori Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Hanya beberapa keping lencana itu dikeluarkan dan saya antara yang bertuah memilikinya,” ujarnya.

Dakwa Eliya, dia turut mempunyai sekeping lencana bersaiz tapak tangan yang diperoleh sewaktu menyertai Jambori Antarabangsa Terengganu pada 2011 yang menjadi antara koleksi kesayangannya.

Melihat pada kesungguhan wanita itu mengumpul koleksi lencana pengakap, Eliya memberitahu, hanya orang yang dekat dengan pengakap sahaja yang tahu menilai keunikan lencana tersebut.

Selain di bingkai dan diletakkan di rumah, Eliya turut mengabdikan koleksi itu di meja pejabat.

“Saya bukan satu-satunya pengumpul lencana pengakap di Malaysia, malah kami juga mempunyai komuniti kecil untuk bertukar-tukar lencana,” katanya.

Katanya, dia tidak mengamalkan konsep menjual beli lencana dengan ahli-ahli lain, hanya bertukar-tukar sesama sendiri.

Minat yang sama turut dikongsi tiga anaknya iaitu Aidil Hakim, 12; Alya Nur Husna, 9, dan Asyraf Humaidi, 7, selain turut mendapat sokongan daripada suami dan rakan-rakan.

Process time in ms: 78