TERKINI

Tujuh lori muatan kotak, dua treler musnah dalam kebakaran

Tujuh lori muatan kotak, dua treler musnah dalam kebakaran

25/09/2017 9:14am


Sebanyak tujuh buah lori dan dua treler musnah dalam satu kebakaran di sebuah kilang di Jalan Bukit Kemuning di sini tengah malam tadi.


SHAH ALAM - Sebanyak tujuh buah lori dan dua treler musnah dalam satu kebakaran di sebuah kilang di Jalan Bukit Kemuning di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.54 malam, tujuh buah lori 10 tan dan dua buah treler itu diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan di luar pagar kilang kotak tersebut.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, sepasukan pegawai dan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira pukul 12.54 tengah malam.

"Setibanya pasukan bomba di kawasan kejadian mendapati api sedang marak membakar tujuh buah lori penuh berisi kotak dan dua buah treler yang diletakkan di kawasan terbuka di luar pagar kilang tersebut.

"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 5 pagi," katanya.

Alimaddia berkata, kebakaran itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Tambahnya, setakat ini pihaknya masih mengenalpasti punca kebakaran termasuklah nilai kerugian.

"Operasi pemadaman kebakaran dibantu anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Kota Raja dan Kota Anggerik. - K! ONLINE

Process time in ms: 47