RENCANA UTAMA

Kontroversi komik satira Sonny Liew

Kontroversi komik satira Sonny Liew


SONNY bergambar dengan beberapa karya yang dihasilkan di studionya di Singapura.


KARTUNIS yang berasal dari Singapura, Sonny Liew berjaya mengubah industri komik di republik itu menerusi karyanya yang popular, The Art of Charlie Chan Hock Chye.

Namun, pihak berkuasa tempatan memberikan reaksi balas di sebalik kejutan penerbitan komik yang dihasilkan mengikut versi sejarah ciptaannya sendiri.

Mengangkat watak makhluk asing dan robot, komik itu menjadikannya sebagai kartunis terhebat dalam sejarah berbanding penyokong subversif dari kaca mata masyarakat di negara itu.

Berkisar kepada sejarah Singapura bermula pada tahun 1950-an sehingga sekarang, Sonny berkarya menerusi kaca matanya sebagai kartunis fiksyen dan secara naratifnya menimbulkan persoalan di minda setiap warga negara itu.

Komik itu mengangkat Lim Chin Siong sebagai watak utama. Dia merupakan pemimpin kesatuan sekerja sayap kiri yang terkenal dan menjadi pesaing kepada pengasas Singapura, Lee Kuan Yew pada tahun 1960-an.

Chin Siong turut memainkan peranan penting ketika membebaskan negara itu daripada pemerintahan British, satu era yang ditandai dengan protes dan rusuhan.

Komik itu memberikan visi alternatif masa silam iaitu ahli politik menjadi pemimpin dan pejuang masyarakat.

Sebaliknya, Kuan Yew sebagai tokoh utama dalam sejarah rasmi Singapura dan dihormati ramai kerana kemampuannya mengubah negara serta masyarakat sebagai antara terkaya di dunia dipaparkan sebagai pemimpin yang tidak boleh menerima kritikan.

“Saya cuba menceritakan sejarah negara dengan versi yang berbeza. Ia mungkin tidak benar atau kurang tepat tetapi ia mampu menarik pembaca untuk mendalami teks sejarah menerusi pandangan yang kritikal,” katanya.

Di Singapura, kebebasan media dikawal dan kritikan kepada kerajaan boleh menyebabkan seseorang itu dikenakan tindakan undang-undang. Ia turut disentuh di dalam komik itu.

Ketika pelancarannya, Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dilaporkan telah menarik balik geran sebanyak SG$8,000 (RM24,900) yang diberikan kepada Sonny kerana kandungan buku itu yang sensitif.

Kuasa legitimasi

Sumber rasmi agensi itu berkata, karya berkenaan berpotensi untuk menjejaskan kuasa legitimasi kerajaan dan institusi awam.

Bagaimanapun, tindakan itu telah menarik perhatian tambahan daripada masyarakat, sekali gus mempopularkan novel tersebut. Kini, ia telah diulang cetak sebanyak lima kali dan turut diterjemah kepada empat bahasa.

Pada Julai lalu, Sonny turut memenangi Anugerah Eisner yang bertaraf Oscar dalam industri komik yang berlangsung di Comic Con International di San Diego, Amerika Syarikat bagi kategori grafik novel termasuk kategori artis dan penulis terbaik.

NAC hanya mengeluarkan kenyataan ringkas di atas kejayaan itu, namun tidak menyentuh nama buku tersebut.

“NAC memberitahu mereka perlu membuat garisan pemisah antara diri saya dan kartunis. Mereka sokong kerjaya saya dan tidak akan meminggirkan karya itu,” ujarnya.

Sonny berkata, dia akan memulangkan semula geran sebanyak SG$19,000 (RM59,000) yang diterima bagi penerbitan buku terbaharu yang giat dilaksanakan kerana tidak mahu mempunyai kaitan dengan pihak berkuasa.

Sonny kini dibenarkan untuk meneruskan karya di studio miliknya. Dia juga menulis dan membuat ilustrasi untuk DC Comics serta menerima jemputan untuk berceramah dengan pembiayaan kerajaan yang digunakan untuk menampung kos studio serta kehidupannya.

Ada pemerhati melihat tindakan itu membuktikan pihak berkuasa kini lebih sederhana dalam mengawal selia masyarakat.

Pada tahun 2015, pihak berkuasa telah menarik balik pengharaman sebanyak 240 judul buku dan majalah.

Singapura diperintah oleh parti sama Parti Tindakan Rakyat (PAP) sejak tahun 1959 dan beberapa tahun sebelum ia mencapai kemerdekaan daripada Britain. Kuan Yew telah dilantik sebagai Perdana Menteri lebih tiga dekad dan kini disandang oleh anaknya

Kuan Yew yang meninggal dunia pada tahun 2015 merupakan tokoh di sebalik kejayaan ekonomi Singapura, namun berdepan kritikan kerana pemerintahan kuku besi yang memaksa pemimpin pembangkang menjadi muflis atau hidup dalam pengasingan.

Sonny sedar, dia berada di negara yang sangat sensitif dan semua fakta di dalam karyanya diperiksa.

“Saya sedar, ini Singapura. Jadi saya akan lebih berhati-hati,” katanya. – AFP

Process time in ms: 62