TERKINI

Banjir di Kedah, Perlis dijangka beransur pulih esok

Banjir di Kedah, Perlis dijangka beransur pulih esok

24/09/2017 3:05pm


Mohd Faizal Hashim, 30, hanya mampu melihat beberapa buah rumah penduduk Kampung Alor Senjaya yang digenangi air sejak jumaat lalu. Foto oleh ISMAIL KAMADIN


ALOR SETAR - Situasi banjir di negeri ini dan Perlis dijangka beransur pulih pada esok apabila keadaan cuaca didapati baik sejak semalam selain fenomena air laut pasang besar juga diramalkan berakhir esok.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Azmy Yahya berkata, paras banjir di beberapa kawasan semakin surut dan orang ramai yang berada di pusat pemindahan mungkin dibenarkan pulang ke rumah masing-masing esok.

"Pada masa ini, limpahan air dari kawasan hulu iaitu daerah Padang Terap kini sedang mengalir melalui sungai-sungai utama melalui daerah Jitra dan Alor Setar sebelum ke laut.

"Sehubungan itu, beberapa kawasan di Jitra dan Alor Setar masih digenangi banjir yang mana air mengalir agak perlahan berikutan fenomena air laut pasang besar pada masa ini," katanya ketika meninjau pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah di sini hari ini.

Beliau berkata, banjir di negeri ini dijangka semakin pulih esok sekiranya cuaca terus cerah dan limpahan air dapat mengalir ke dalam laut lebih cepat sebaik berakhirnya fenomena air laut pasang besar.

"Keadaan sama juga dijangka berlaku di Perlis dan setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian banjir yang berlaku di dua buah negeri ini setakat ini," ujarnya.

Seramai 2,873 mangsa banjir daripada 878 keluarga masih berada di 21 pusat pemindahan di daerah Kuala Muda, Alor Setar, Kubang Pasu dan Pendang sehingga pukul 8 pagi tadi. - K! ONLINE

Process time in ms: 31