KESIHATAN

Dilahirkan dengan jantung terkeluar

Dilahirkan dengan jantung terkeluar

DARI (kanan) cukup suka memegang jantung anak perempuannya kerana menganggap ia sesuatu yang cukup istimewa.


MINGGU lalu, satu rakaman video yang memaparkan degupan jantung seorang kanak-kanak perempuan menjadi tular di media sosial.

Dalam video yang dirakam oleh ibu kanak-kanak itu, ia jelas menunjukkan bahawa jantungnya sedang berdegup di luar sangkar rusuknya.

Virsaviya Borun menghidap satu keadaan yang cukup aneh iaitu sindrom torako-abdominal dikenali sebagai Penta­logy of Cantrell.

Keadaan itu menyebabkan jantungnya berada di luar tulang dada, seterusnya berdegup betul-betul di bawah lapisan kulit.

Memetik laporan Mail Online, kea­daan itu hanya berlaku kepada seorang dalam satu juta kanak-kanak di dunia.

Melihat kepada fizikal luaran, Virsaviya kelihatan sama sahaja seperti kanak-kanak seusianya yang lain.

Pada usia tujuh tahun, kanak-kanak itu cukup suka menari, melukis dan dia juga amat sukakan kuda.

Baju nipis

Biarpun menghidap komplikasi kesihatan pelik, Virsaviya merupakan seorang kanak-kanak yang sihat dan normal.

“Ini merupakan jantung saya dan dalam dunia ini, mungkin hanya saya seorang sahaja yang memiliki jantung seperti ini,” ujarnya.

Setiap kali jantung kanak-kanak itu berdegup, ia boleh dilihat dengan jelas memandangkan ia hanya dilindungi oleh lapisan kulit yang nipis.

“Jantung saya yang seakan-akan terkeluar itu menyebabkan saya perlu melindunginya.

“Setiap kali bersiap untuk keluar, saya hanya akan menyarung pakaian daripada material yang nipis bagi mengelakkan jantung saya terasa sakit,” jelasnya.

Tambahnya, keadaan jantungnya itu menyebabkan doktor menasiha­tinya agar tidak berlari dengan kerap.


Virsaviya dilahirkan dengan jantung yang berada di luar dadanya.


“Sebenarnya, saya tidak dibenarkan untuk berlari dengan laju, namun saya suka berlari. Saya hanya boleh berjalan dan melompat sahaja,” katanya.

Dilahirkan di Rusia, keadaan aneh kanak-kanak berambut perang itu mula dikesan doktor sejak dalam kandungan.

Mahu dibedah

Ibu Virsaviya, Dari Borun membe­ritahu Mail Online bahawa doktor sudah mengingatkannya tentang keadaan aneh yang dihidapi anaknya.

“Semasa hamil, doktor memberitahu ada sesuatu yang tidak kena pada kandungan saya. Hal itu kerana, doktor mengesan bentuk jantungnya yang pelik selain mengingatkan saya bahawa anak saya mungkin tidak mampu untuk hidup lama,” ujarnya.

Selepas Virsaviya dilahirkan, Dari mengakui dia berasa terkejut melihat keadaan anaknya itu, namun me­ng­anggapnya cukup istimewa.

“Saya tidak kisah keadaan jantungnya pada ketika itu kerana apa yang penting adalah dia bernafas se­perti biasa dan saya yakin umurnya panjang,” luah Dari.

Begitu pun, Dari tetap berharap agar jantung anaknya boleh berdegup seperti manusia normal. Wanita itu berpindah ke Amerika Syarikat (AS) dan berharap agar anaknya boleh dibedah di sana.

Selepas diperiksa, doktor mengesahkan bahawa Virsaviya tidak boleh menjalani pembedahan kerana ia akan memberi kesan terhadap tekanan darahnya.

“Saya amat tertekan selepas dibe­ritahu bahawa anak saya tidak boleh dibedah. Kedudukan jantung di luar badan menjadikannya sensitif dan sekiranya terjatuh atau dadanya terhentak pada sesuatu, ia akan membawa maut,” ujar Dari.

Sehingga kini, doktor di AS masih mencari jalan untuk mengubati pe­nyakit ganjil Virsaviya.

Buat masa ini, dia diberi ubat-ubatan yang membantu menurunkan tekanan darah bagi membolehkannya menjalani pembedahan untuk me­ngubah posisi jantungnya.

Kanak-kanak itu bagaimanapun mengakui dia tidak kisah dengan kedudukan jantungnya itu.

Process time in ms: 31