RUANG

Ubah suai kediaman pemberian keluarga

Ubah suai kediaman pemberian keluarga

MODEN klasik menjadi pertaruhan Misra untuk digarap pada ruang tamu.


SAAT melalui jalan-jalan kecil di Kampung Padang Balang, Gombak, Selangor, imej kediaman kampung yang dibina dengan ukiran kayu-kayu lama serta mempunyai halaman rumah yang luas terbayang dalam fikiran kami.

Bagaimanapun, gambaran tersebut lenyap serta-merta sebaik kereta yang dinaiki kru Jurnal membelok masuk ke kediaman milik Misra Arjana, 30, dan suaminya.

Siapa sangka, di sebalik jalan kecil yang dipenuhi dengan deretan rumah kampung di kiri dan kanan jalan, terdapat sebuah banglo dengan seni bina yang sangat eksklusif.

Tidak keterlaluan jika kami katakan, kediaman pasangan suami isteri itu mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang melalui kawasan tersebut.

Apa tidaknya, kediaman yang dibina di kawasan tanah berkeluasan lebih 500 meter persegi itu mempunyai laman yang luas hingga bahagian depannya boleh memuatkan kira-kira 10 buah kereta.

Malah, reka bentuk dan calitan rona coklat cair yang digunakan untuk mewarnai sudut luar kediaman juga menjadikan rumah tersebut tampak eksklusif dan berlainan dengan kediaman-kediaman di kawasan tersebut.

Bahagikan kediaman

Sesiapa pun yang melihat pasti menyangka pemilik telah menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman berpengalaman yang dibayar mahal bagi menata hias kediaman itu.

Tetapi jangan terkejut kalau dikatakan idea dekorasi dan hiasan dalaman itu merupakan 100 peratus cetusan buah fikiran tuan rumah sendiri, Misra dan suaminya yang merupakan seorang kontraktor.

“Asalnya rumah ini merupakan kediaman saya membesar. Kami sekeluarga mula mendiami di kawasan ini sejak tahun 1995 lagi.


BILIK tidur utama yang diberi suntikan rona merah.


“Bagaimanapun, sebaik ibu meninggal dunia, ayah menyerahkan rumah ini kepada saya dan seorang adik perempuan. Kami suami isteri mula mendiami rumah ini lima tahun lalu dengan membahagikan kediaman ini kepada dua,” jelas Misra.

Terang Misra, kediaman yang mempunyai lima bilik tidur itu pada mulanya merupakan ruang tamu eksklusif bagi menempatkan tetamu-tetamu kehormat ayahnya suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, pasangan itu mula membuat pengubahsuaian dengan menambah bilik tidur, dapur, bilik air dan gimnasium mini.

Hasil sentuhan pasangan suami isteri itu, sudut yang menjadi ruang tamu itu kini berjaya diubah menjadi sebuah rumah yang mempunyai kelainan yang tersendiri seperti yang dilihat pada hari ini.

Ternyata, sentuhan magis Misra dan suaminya mampu memberi nafas baharu kepada kediaman pemberian ibu dan bapanya apabila pengubahsuaian yang dilakukan berjaya lari daripada dekorasi klise golongan kebanyakan.

Biarpun begitu, jelas Misra, dia dan suami mengambil masa selama lima tahun untuk mengubah keseluruhan ruang tersebut seperti yang dilihat pada hari ini memandangkan kesemuanya dilakukan secara berperingkat.

Moden klasik

“Kami suami isteri memilih konsep moden klasik untuk menjadi penyeri keseluruhan ruang.

“Ini kerana, kami lihat kebanyakan perabot yang terletak dalam kediaman ini berunsurkan klasik dan juga moden. Bagaimanapun, bagi menaikkan lagi seri konsep tersebut, kami menggunakan gabungan rona emas, hitam dan putih untuk dipadankan pada perabot, aksesori dan juga calitan cat dinding,” jelasnya.


SUDUT dapur kering diberi sentuhan moden.


Menariknya mengenai kediaman itu ialah hampir 80 peratus daripada barangan, perabot dan susun atur yang dilakukan merupakan hasil keringat dan air tangan suami tercinta.

Ternyata, profesion sebagai seorang kontraktor dimanfaatkan oleh suaminya dengan sebaik-baiknya apabila tempat yang menjadi pelindung daripada terik mentari berjaya dicantikkan sehingga ia berada pada kelas tersendiri.

Bagaimanapun, akui Misra lagi, dia dan suami tetap merujuk bahan bacaan dalam talian terutamanya laman web-laman web antarabangsa seperti pinterest bagi menggarap idea untuk mendekorasi kediaman tersebut.

Walaupun mengetengahkan konsep moden klasik, namun pasangan itu tidak terkecuali daripada menghias segenap penjuru di rumah tersebut dengan aksesori-aksesori menarik.

Antaranya ialah penggunaan pokok-pokok hiasan, lampu-lampu aksesori, gantungan bingkai gambar dan juga cermin besar yang diletakkan pada bahagian dinding utama ruang makan.

Melihatkan keseluruhan ruang tersebut, ternyata pasangan itu bijak memadankan aksesori dengan tema kediaman apabila keseluruhan rumah kelihatan sedap mata memandang dan menimbulkan suasana tenang.

Jelas Misra, dia dan suami begitu menitikberatkan soal dekorasi dan kebersihan rumah kerana ia menjadi pelengkap bagi sesebuah keluarga.

Malah menurutnya lagi, tanpa kedua-dua elemen tersebut sesebuah rumah akan menjadi kosong dan hambar.

Process time in ms: 31