VARIA

Kacang pool Pulau Mutiara

Kacang pool Pulau Mutiara


Nasirah menunjukkan hidangan popular di kedainya iaitu roti telur bakar bersama kuah kacang pool.


MENIKMATI hanya dua keping roti bakar yang dipotong empat dan dicicah pula bersama kuah kacang pool yang dihiasi dengan hirisan nipis bawang merah dan cili hijau sememangnya sudah cukup mengenyangkan.

Rasa kuah kacang pool buatan sendiri hasil kreativiti pengusahanya, Nasirah Shariff, 40, itu membuatkan ramai pelanggan teruja dengan kepelbagaian roti yang dibakar bersama mentega bawang putih serta keju sebagai tambahan.

Cerita anak kelahiran Pulau Mutiara itu, dia mendapat ilham untuk memulakan perniagaan tersebut setelah menikmati roti bakar bersama kuah kacang pool di sebuah premis di Johor Bahru, Johor.

“Semasa itu, saya terfikir yang menu ini belum pernah disajikan di Pulau Pinang.

“Saya sering berbincang dengan ibu, Faridah Mohd. Yusoff, 60, mengenai membuka perniagaan lain daripada lain. Kami kemudiannya berusaha menghasilkan kuah kacang pool menggunakan rempah-ratus buatan sendiri,” katanya ketika ditemui di premisnya di Kompleks Desiran Tanjung, Tanjung Tokong baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nasirah memberitahu, hasrat untuk mengetengahkan menu roti bakar kuah kacang pool akhirnya terlaksana selepas premis perniagaannya dibuka pada bulan Ogos 2015.

“Saya tidak sangka menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan pelbagai peringkat termasuk dari luar negara seperti Kanada, Britain dan Australia.

“Saya memulakan perniagaan dengan melakukan perkhidmatan penghantaran ke rumah, pejabat dan kilang di kawasan ini. Saya mula mengambil tempahan menerusi media sosial memandang belum ramai yang tahu mengenai bisnes ini semasa itu,” jelasnya.


Roti bakar enak disajikan bersama kuah kacang pool.


Menu utama

Mengenai menu utama yang disediakan katanya, pelanggan akan disajikan dengan keenakan roti putih tanpa bahan pengawet dan perasa serta berpeluang memilih set roti bakar mengikut pilihan hati.

“Antaranya, roti yang dibakar biasa atau disapu mentega bawang putih buatan sendiri, disalut keju dan roti telur goreng. Menu yang menjadi signatur kami ialah set roti bakar mentega bawang putih kacang pool daging.

“Saya juga menyediakan menu istimewa kepada pelanggan seperti roti bakar telur gedik atau goyang, roti jala baldu dicicah kuah kari ayam dan capati gulung. Ramai pelanggan memilih untuk menikmati makanan mereka bersama kuah kacang pool,” ujarnya.

Selain itu, Nasirah memberitahu, dia juga menyajikan menu makanan Barat yang berasaskan roti serta hidangan chicken parmesan dan eggplant parmesan sebagai menu baharu di premisnya.

Turut disajikan ialah hidangan pencuci mulut seperti kek red velvet, browned butter banana dan minuman popular iaitu air barli lemon.

Menurutnya, harga bagi kesemua hidangan itu adalah dari RM6 hingga RM18 manakala set roti bakar kacang pool dijual RM7 hingga RM11.30.

Process time in ms: 32